Sukan Hari Ini

Titans sedia gempur!

Kuala Terengganu: “Kami tidak gentar reputasi FELDA United malah kami bertekad mencipta kejutan selain bersedia mencalar ego lawan.”

Itulah tekad kapten T-Team Mohd Hasbullah Awang menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang FELDA United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bekas pertahanan Terengganu itu mengaku aura di laman sendiri menjadi pembakar semangat sekaligus memastikan The Titans melakar kemenangan selesa ke atas skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu sebelum perlawanan timbal balik 17 September ini di Stadium Tun Abd Razak, Jengka.

“Atas kertas sudah pasti kami diletakkan pasukan bukan pilihan apatah lagi rekod pertemuan liga lebih memihak kepada FELDA United tetapi aksi Piala Malaysia terutama peringkat suku akhir kami akan tampil dengan wajah berbeza.

“Jika dilihat kekuatan pemain dan ditambah strategi ampuh diterapkan ketua jurulatih (Rahmad Darmawan), kami juga mempunyai kelebihan untuk memperagakan aksi bertenaga dan mantap bagi memburu kemenangan apatah lagi selepas berjaya membenam PDRM, Rabu lalu,” kata kapten berasal dari Jerangau itu.

Berdasarkan reputasi semasa skuad T-Team, mereka bakal berdepan laluan sukar menewaskan skuad The Fighters yang kini menduduki tangga kedua Liga Super.

Mengulas lanjut, Hasbullah mengaku walaupun bakal berdepan tugas berat menundukkan lawan yang sudah pasti hadir dengan impian menggunung untuk mencatat kemenangan, The Titans juga ada ramuan tersendiri untuk menang.

“Kami sedar cabaran yang menanti daripada skuad itu terutama melalui penyerang utamanya yang juga bekas pemain import Terengganu Francis Forkey Doe dan pemain tengahnya Zah Rahan Krangar tetapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

“Bagi memastikan dua pemain import FELDA United dirantai, kami sudah memasang strategi untuk mengunci pergerakan pemain itu selain akan berusaha keras untuk mematahkan serangan lawan bermula di bahagian tengah lagi,” katanya yang menggesa rakan sepasukan mempamerkan aksi lebih 100 peratus walaupun turun tanpa dua tonggak Patrick Dos Santos Cruz dan Mohd Badrul Hisyam Morris akibat kecederaan.

Bercakap mengenai produk nutrisi sukan untuk atlet keluaran syarikat tempatan yang beroperasi di Marang, Mesotropin Sdn Bhd (MESOTROPIN), Hasbullah menyatakan sejak mengamalkan produk itu tahap kecergasannya kian bertambah selain tidak terlalu penat untuk menghabiskan tempoh perlawanan.

“Dengan usia melebihi 30 tahun ini, saya menggunakan produk Mesotropin dan ternyata ia membantu saya lebih cergas dan kurang berasa letih serta mampu memulihkan tenaga dengan cepat tanpa kesan sampingan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MESOTROPIN Shekh Mohd Haqimie Shekh Hussain mengharapkan penggunaan produk itu dalam kalangan pemain The Titans mampu melonjakkan lagi prestasi pemain sekali gus mampu melakukan kejutan ke atas FELDA United malam ini.

Menurutnya, pengambilan produk yang berasaskan nutrisi sukan bukan hanya penting kepada pemain bola sepak malah turut membantu atlet dalam sukan lain kerana ia juga berfungsi untuk meningkatkan kecergasan, membantu pertumbuhan otot dengan efektif dan mempercepatkan proses pemulihan kecederaan.

“Sebagai contoh dalam bola sepak, pemain elit biasanya mencecah jarak 13 kilometer larian dalam satu perlawanan yang menggabungkan kedua-dua sistem tenaga aerobik serta anaerobik untuk mencapai tahap maksimum mereka dan penggunaan produk kami adalah jawapan terbaik untuk proses pemulihan, penyesuaian latihan dan prestasi semasa mereka.

“Selain itu diet pemain bola sepak haruslah memberi keutamaan dalam memenuhi keperluan tenaga mereka ketika latihan dan prestasi harian, oleh itu pengambilan karbohidrat perlu diberi keutamaan bagi memastikan mereka mempunyai tenaga dan strategi pemulihan berasaskan protein juga akan membantu memulihkan dan menyesuaikan otot kepada rangsangan latihan.

“Dengan jadual perlawanan yang begitu padat tumpuan kepada pemulihan selepas perlawanan juga penting, penggunaan Hydro Whey Protein adalah pilihan terbaik untuk mengekalkan prestasi kerana mengandungi protein dan karbohidrat yang tinggi untuk menggantikan tenaga yang hilang selepas perlawanan,” katanya yang bakal membuka lima lagi cawangan MESOTROPIN bermula September ini iaitu di Wangsa Maju, Shah Alam dan Bangi.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");