Berita Hari Ini

Tubuh Jawatankuasa Pengurusan Risiko

KUALA LUMPUR – Semua syarikat dan koperasi milik agensi serta jabatan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diwajibkan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu penting terutama dalam membuat keputusan berkaitan penerokaan bidang baharu, cadangan usaha sama pelaburan dan analisis persekitaran ke atas petunjuk ekonomi.

Katanya, setakat ini semua koperasi masih belum menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Risiko, manakala hanya segelintir syarikat mempunyai jawatankuasa tersebut.

“Semua pelaburan oleh syarikat dan koperasi mesti melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko terlebih dahulu. Maknanya, mereka tidak boleh melabur sesuka hati.

“Jawatankuasa ini akan lihat secara lengkap setiap risiko perniagaan. Ahli jawatankuasa ini akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Syarikat dan Koperasi Terbaik Tahun 2015 KKLW, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, syarikat di bawah KKLW perlu menyusun langkah strategik bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Kita tiada pilihan, selain mengambil pendekatan secara berani dan radikal agar kekal kompetitif dalam perniagaan, antaranya menutup atau menarik kembali pelaburan dalam syarikat yang berterusan rugi.

“Syarikat juga perlu menyelaras semula hala tuju dengan fokus kepada perniagaan teras. Selain itu, mereka mesti meneroka bidang baharu yang mendapat permintaan dan berteknologi tinggi seperti rel dan lokomotif, bahan binaan dan automatif,” katanya.

Katanya, kementerian turut mencadangkan penggabungan syarikat yang beroperasi dalam bidang hampir sama.

“Dengan cara ini, mereka tidak perlu bersaing sesama sendiri. Sebagai contoh, dari segi logistik dan pengangkutan, kita ada Mara Liner dan Risda Fleet tetapi tidak bermakna kedua-dua syarikat ini perlu bergabung.

“Tetapi mungkin mereka boleh bergabung dalam aktiviti sampingan daripada perniagaan teras. Misalnya, mewujudkan satu syarikat untuk penyelenggaraan kenderaan, jual tayar, alat ganti dan sebagainya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");