Panasnya Hari Ini

Usaha Pindah Masjid Kampung Teluk Memali

KUALA LUMPUR : Firma arkitek, ATSA Architect Sdn Bhd (ATSA Architects) kini memulakan langkah fasa kedua dalam usaha pemuliharaan amal Masjid Kampung Teluk Memali yang kini berusia 106 tahun di Kampung Gajah untuk dipindahkan ke tapak baru di Ipoh.

Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Ar Azim A Aziz berkata, kerja-kerja pemuliharaan telah bermula dengan fasa pertama pembinaan tapak platform konkrit di tapak baru pada April lalu.

Sementara itu, beliau berkata, fasa kedua pula melibatkan kerja penanggalan, pemindahan, pembaikan dan perawatan serta pemasangan komponen struktur kayu masjid di tapak baru di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani, di Ipoh.

“Sejak Jun lalu, kerja-kerja penanggalan telah bermula dengan pemindahan sebuah mimbar kayu dari dewan solat utama masjid ke balai raya berdekatan dan pada 22 Jun, struktur kolah telah diangkat dan dibawa keluar dengan menggunakan kren dan diangkut ke tapak baru pada hari yang sama.

 

“Seminggu kemudian, kerja-kerja penanggalan struktur telah bermula secara rasmi melibatkan sekumpulan tukang kayu dari Ipoh dan di bawah penyeliaan konservator berlesen dari Politeknik Ungku Omar, Dr Mohd Jaki Mamat,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya lagi, semua komponen struktur kayu telah diangkut menggunakan lori dan disimpan dengan teratur selepas langkah penandaan dilakukan komponen kayu yang telah ditanggal.

Ar Azim berkata, pihaknya kini dalam proses membaiki dan merawat komponen kayu. Beberapa komponen kayu perlu diperbaiki kerana pereputan, anai-anai dan beberapa faktor lain.

“Untuk mencari spesies kayu yang sesuai dan sepadan, kami telah menjemput pakar dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan dibantu oleh Dr Mohd Jaki.

“Kerja-kerja ini akan selesai dalam masa beberapa minggu lagi sebelum pemasangan semula yang dijadualkan akan bermula pada awal September 2016 sebelum sampai ke fasa ketiga iaitu kemasukan bekalan eletrik dan air bersama-sama dengan pembinaan ruang sokongan,”ujarnya.

Katanya lagi, beberapa universiti dan kolej tempatan juga bakal mengambil bahagian dalam usaha itu sebagai inisiatif khidmat masyarakat mereka iaitu Politeknik Ungku Omar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Taylor’s.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai sebahagian daripada usaha membiayai usaha sukarelawan itu, pihaknya telah menerbitkan sebuah monograf tentang seni bina masjid di Malaysia yang bertajuk ‘Masjid-Selected Mosques and Musollas in Malaysia’.

“Segala hasil jualan monograf ini, setelah ditolak kos percetakan, akan disumbangkan ke dalam tabung usaha pemuliharaan masjid ini.

“Kami telah berjaya mengumpul sebanyak RM250,000 namun jumlah ini masih lagi tidak mencukupi dan kami masih memerlukan sekitar RM250,000 lagi untuk menyiapkan keseluruhan masjid,”ujarnya.

Katanya lagi, kutipan sumbangan sedang dijalankan bagi menampung kos keseluruhan usaha ini menerusi sasaran dana sekitar RM500,000 dan sebuah akaun bank dibuka khusus untuk melaksanakan projek pemuliharaan bukan keuntungan di bawah akaun TABUNG PEMINDAHAN MASJID TELUK MEMALI bernombor 105 2800 03201 (Affin Islamic Bank).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");