Membawang Hari Ini

‘Watak yang itu-itu juga’

Spa Q antara drama yang berjaya mengangkat populariti Azizah Mahzan pada sekitar 2008, namun selepas itu kelibatnya hanya ternampak sekali sekala di kaca TV.

Bukan Azizah tidak berminat untuk berlakon lagi, tetapi kebanyakan drama dan telefilem yang diterbitkan sekarang tidak menepati cita rasanya sehingga membuatkan dia lebih selektif. Menurut Azizah, dia juga semakin jarang menonton drama Melayu kerana jalan cerita banyak yang ‘klise’.

“Bagaimanapun, saya tak kata pelakon sekarang tak bagus, tetapi watak yang ditawarkan pada saya lebih kurang sama saja atau mungkin saya sudah tidak berapa sesuai lagi dengan corak penceritaan drama sekarang. Belum baca skrip lagi, tengok saja tajuk drama atau telefilem yang ditawarkan terus hilang rasa nak berlakon.

“Bagi menghilangkan kerinduan pada dunia lakonan pada 2014, saya berlakon dengan Datuk Jalaluddin Hassan dalam drama Kasih Di Wajahmu. Saya sangat menyukai jalan ceritanya yang memaparkan kisah suami serta anaknya menghadapi cabaran berdepan dengan orang yang paling rapat dalam hidup mereka menghidap Alzheimer.

“Saya tidak kisah jarang berlakon kerana saya buat kerana ‘passion’, bukannya sebagai mata pencarian utama. Sesekali saya berlakon teater antaranya seperti pementasan Tun Sri Lanang di Johor Bahru dan Monolog berlakon dengan Khalid Salleh,” katanya.

Terbaru, kepada yang rindukan lakonan Azizah, saksikan persembahannya dalam telefilem Black Mamba terbitan Kuasatek Pictures Sdn Bhd milik Mohd Noor Kadir.

“Mohd Noor kawan lama dan saya sentiasa percaya dengan produk terbitannya. Saya juga tidak bertanya bayaran dengannya. Ada juga dia bertanya kenapa lama saya tidak berlakon dan cuba ikut selera sekarang, tetapi saya jelaskan kebanyakan naskhah tidak menepati cita rasa saya.

“Kali pertama saya bekerja dengan Mohd Noor menerusi drama Dominan yang disiarkan di TV3 pada 1997. Waktu itu saya dan Mohd Noor banyak berbincang, tetapi perkara seperti itu tidak berlaku lagi dalam produksi sekarang. Saya suka jika ada gaduh-gaduh sedikit dengan penerbit dan pengarah di set kerana boleh mencergaskan minda,” katanya.

Syarikat produksi tak bayar duit lakonan

Pada pertemuan itu juga, Azizah turut meluahkan rasa kecewanya. Sejak 2009 ada lagi syarikat produksi yang tidak bayar duit lakonannya dan katanya dia malas nak kecoh kerana kelak dia juga yang malu sendiri.

“Pernah kami bertembung dan saya bertanyakan bayaran yang masih belum selesai itu. Katanya dia ingat, tetapi tak bayar juga. Saya tak mahulah mengamuk dan untuk meredakan hati sendiri saya anggap dia ada masalah,” katanya.

Seperkara yang menarik mengenai Azizah, dia tidak pernah menonton semula lakonannya kerana dia akan menyesal.

“Saya rasa lakonan saya tidak pernah bagus dan boleh buat lebih bagus lagi. Jadi lebih baik saya tidak menonton drama itu semula,” katanya.

Imbas semula pembabitannya dalam dunia lakonan tanah air, dia sertai industri pada 1990 namun dia kurang aktif kerana dia ada pekerjaan tetap dan hanya akanberlakon apabila ada cuti.

“Meskipun saya tidak boleh berlakon sepenuh masa, tetapi waktu itu saya puas hati dengan tawaran yang diterima kerana drama diterbitkan mendidik masyarakat, tetapi sekarang penerbit dan pengarah lebih menitikberatkan cita rasa penonton.

“Sebagai pengkarya kita sepatutnya berkongsi pengalaman dengan penonton sebab itu saya sukar terima tawaran berlakon sekarang kerana saya gagal menjiwai watak yang diberi. Mungkin masih ada karya yang bagus, tetapi tiada rezeki saya melakonkannya kerana sibuk dengan perniagaan,” katanya.

Azizah juga tidak suka pakai baju yang ditaja dalam setiap drama lakonannya kerana ada baju yang dicarikan untuknya tidak sesuai dengannya.

“Oleh itu, sebahagian daripada bayaran yang saya dapat digunakan untuk membeli sendiri baju. Biar berhabis sedikit asalkan saya puas hati dan selesa bila berlakon,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");