Jenayah

67 kenderaan sindiket klon

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti 67 buah kenderaan di seluruh negara dipercayai dibeli melalui sindiket kereta klon yang menyalah guna sistem pendaftaran dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata setakat ini, pihaknya telah merampas 17 buah kenderaan manakala bakinya yang meliputi kenderaan mewah seperti Lexus, BMW, Mercedes dan Toyota sedang dikesan.

“Kita tahu nama pemilik kenderaan serta alamat kediaman mereka, jadi kita minta mereka tampil serahkenderaan ini dalam tempoh seminggu,” katanya semalam.

Tegasnya, pemilik yang gagal menyerahkan kenderaan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Katanya, pemilik mengetahui kereta mereka klon kerana dibeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Kelmarin, SPRM menahan empat suspek termasuk seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan pembantu tadbir JPJ di Kedah serta suaminya berusia 36 tahun, dipercayai terlibat sebagai orang tengah dalam mengubah status kenderaan dari negara jiran terbabit.

Mengulas lanjut, Ahmad Khusairi berkata sindiket tersebut mengubah status kenderaan yang telah dilupuskan di negara jiran untuk dijual dengan harga murah kononnya kenderaan tersebut hendak dilupuskan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata suspek dipercayai memalsukan beberapa dokumen termasuk laporan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan borang ikrar barangan import, K1 pihak kastam bagi mendaftarkan kenderaan tersebut.

Pihaknya kini giat kesan empat lagi individu membabitkan dua daripada agensi penguat kuasa dan dua penjual kereta terpakai yang disyaki terlibat dalam sindiket itu.

Justeru, Ahmad Khusairi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga murah kenderaan mewah di laman-laman sosial kerana ia didaftarkan secara tidak sah dan bakal merugikan mereka.-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");