Sukan Hari Ini

7 mata lagi…

Sepang: Mercedes AMG PETRONAS mempunyai peluang cukup cerah untuk mengesahkan kejuaraan pengeluar buat kali ketiga berturut-turut di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini, sekiranya salah seorang pemandu mereka menamatkan perlumbaan di kedudukan enam terbaik.

Ini kerana, Mercedes sebenarnya hanya memerlukan tujuh mata saja bagi mengesahkan kejuaraan itu dan andai antara Nico Rosberg atau Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam yang menawarkan lapan mata, ia sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan pengeluar.

Mercedes ketika ini jauh mendahului kedudukan pengeluar dengan 538 mata berbanding Red Bull di tempat kedua dengan 316 mata.

Pasukan tradisi gergasi F1, Ferrari ketiga dengan mengumpul 301 mata.

Bagi Rosberg yang ketika ini mendahului kejuaraan pemandu dengan 273 mata, dia mahu memastikan dapat membantu pasukannya mengesahkan kejuaraan pengeluar buat kali ketiga berturut-turut hujung minggu ini.

“Kami melalui satu lagi musim penuh cemerlang. Kami sering memikirkan untuk mengulanginya (kejuaraan pengeluar) sekali lagi.

“Kali ini, kami berpeluang mengesahkan kejuaraan pengeluar lebih awal. Setiap anggota pasukan melaksanakan tugas yang sangat cemerlang,” katanya pada sidang media semalam menjelang perlumbaan Ahad ini.

Mengenai pendapatnya pula untuk muncul juara dunia kali pertama musim ini, Rosberg sekali lagi menegaskan dia tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Saya sedar mengenai situasi ketika ini, begitu juga kedudukan mata dan segala-galanya.

“Apa yang perlu saya lakukan adalah terus fokus terhadap perlumbaan.

“Untuk minggu ini saya mahu memenangi perlumbaan di Sepang dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk melakukannya,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");