Membawang Hari Ini

Ain AF8 pegang amanah keluarga

BEKAS pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ain atau nama lengkapnya, Nadiawati Ainul Basir, 30, selamat mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihannya, Najib Ali, 37, dalam majlis pernikahan ringkas, tetapi meriah di Hotel Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran, Sabah 10 September lalu sekitar jam 4 petang.

Dengan hanya sekali lafaz, Najib yang bertugas sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen sah menjadi suami Ain dengan hantaran RM10,000 berserta mas kahwin RM1,000.

Perkenalan lebih dua tahun lalu yang mulai berputik setelah Najib menatap gambar si isteri menerusi laman Instagram pastinya menjadi momen terindah buat Ain.

Ain yang pernah muncul menerusi single berjudul Penanggung Sepi selepas menyertai program AF memberitahu kehidupannya kini mulai berubah 360 darjah.

“Syukur alhamdulillah atas rahmat dari-NYA buat kami dan saya bersyukur kerana majlis nikah serta resepsi kami berjalan lancar seperti yang diharapkan.

“Terima kasih buat keluarga kami berdua, sahabat, peminat dan rakan media yang turut sama hadir memeriahkan majlis persandingan yang diadakan di Bukit Damansara, Selangor, 18 September lalu.

“Maaf kami pinta andai ada sebarang kekurangan sepanjang majlis,” ujar Ain.

Katanya, perkahwinan ini dianggap sebagai pelengkap buatnya yang membuatkan rutin hidupnya kini mulai berubah.

“Jika dulu kita hidup sendiri, namun kini sudah bergelar isteri orang. Jadinya saya perlu melakukan tugas sebagai isteri terbaik seperti mana yang dipesan oleh keluarga,” katanya.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada November 2014.

Menjadi yang terbaik

Ditanya apakah pesanan yang diberikan keluarga buat penyanyi ini, Ain mengakui selain nasihat, dia juga secara peribadi sudah bersiap sedia kerana hal perkahwinan bukanlah suatu yang boleh dikira kecil.

“Sebelum mendirikan rumah tangga lagi, saya memang sudah bersedia untuk menempuh fasa perkahwinan.

“Saya mula banyak belajar untuk mengurus soal rumah tangga, cuba menjadi insan lebih baik dan yang paling penting, belajar untuk lebih bertoleransi selain buang sikap yang dirasakan negatif.

“Begitu juga dengan suami. Saya bertuah kerana si dia begitu memahami,” katanya.

Katanya lagi, ketika awal perkenalan lagi, masing-masing sudah cuba bertolak ansur di antara satu sama lain.

“Keluarga pula berpesan agar banyak bersabar dalam menempuh alam perkahwinan.

“Insya-ALLAH kami cuba bawa bahtera perkahwinan ini sebaik mungkin. Doakan kebahagiaan kami,” pinta anak jati Tuaran, Sabah ini lagi.

Terharu sokongan suami

Dalam pada itu, Ain turut berkongsi rasa terharunya atas sokongan yang tidak putus-putus buatnya agar terus memberikan komitmennya sebagai anak seni.

“Jujurnya saya rasa terharu juga kerana pada peringkat awal, saya sangka suami tidak memberi kebenaran untuk terus aktif namun perkara yang sebaliknya berlaku.

“Dia menyokong apa sahaja minat saya. Malah kami kenal pun ketika saya masih aktif menyanyi. Cuma buat masa sekarang saya kurangkan sedikit aktiviti seni kerana mahu beri tumpuan pada rumah tangga,” katanya.

Beruntung mempunyai suami yang begitu memahami, Ain turut berkata, suaminya juga seorang yang kuat bekerja jadi rasanya adalah lebih baik untuknya memberi fokus pada rumah tangga dalam masa terdekat ini.

“Pun begitu, saya sudah pun mempunyai single baharu berjudul Melodi Hati. Saya ada dendangkan lagu tersebut pada malam persandingan kami sebagai satu simbolik hadiah daripada saya buat suami tercinta.

“Mulanya rasa gementar juga. Maklumlah sebelum ini kita hanya buat persembahan pada majlis kahwin orang. Namun kini kena nyanyi dalam majlis sendiri pula,” gurau Ain.

Katanya, lagu yang pada awalnya lebih bersifat kecewa, namun diolah lirik agar lebih bersesuaian untuk majlis perkahwinan.

“Insya-ALLAH apabila semuanya sudah siap, saya akan perkenalkan single ini sebagai buah tangan terbaharu saya untuk meneruskan perjalanan dalam dunia seni.

“Harap ia akan mendapat sambutan positif daripada peminat. Suami pun suka lagu tersebut. Selepas liriknya ditukar, ia mengisahkan penghargaan daripada seorang wanita terhadap lelaki yang dicintainya.

“Jadi saya anggap lagu ini bertepatan dengan status saya sekarang. Alhamdulillah atas perkahwinan ini dan saya mohon doa baik-baik daripada kalian,” akhiri Ain.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");