Sukan Hari Ini

Annuar layak terajui FAM

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) mahu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengetuai ‘rejim baharu’ barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, Annuar dilihat individu paling layak mengisi jawatan nombor satu badan induk bola sepak kebangsaan itu bagi penggal akan datang.

“Kita sangat menyokong sekiranya Tan Sri (Annuar) bersedia menerajui FAM selepas Tengku Mahkota Pahang, (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) mengambil keputusan undur diri.

“Saya tidak nampak ada calon lain yang lebih berani dan layak menduduki kerusi panas itu sekalipun terdapat beberapa nama besar seperti Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Idris Jala turut disebut-sebut sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nukman Mustaffa mencadangkan Annuar untuk menerajui barisan kepimpinan FAM, pada kongres akan datang.

Pemilihan baharu barisan kepimpinan FAM itu bakal diadakan pada kongres ke-53 yang dijadualkan awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikhnya, Oktober ini.

Menurutnya, sejarah membuktikan transformasi yang dilakukan Annuar terhadap bola sepak Kelantan telah membawa pasukan itu keluar dari zaman gelap sehingga berjaya menyapu bersih semua kejuaraan Liga Malaysia dalam tempoh singkat.

“Malah transformasi yang dilakukan beliau itu juga telah diikuti oleh JDT (Johor Darul Ta’zim) sehingga membolehkan pasukan berstatus kelab itu turut meraih pelbagai kejuaraan di pentas domestik dan antarabangsa, sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Bola sepak negara memerlukan individu yang berkaliber seperti beliau. Saya percaya jika beliau diberi peluang, pasti FAM akan mengalami revolusi baru sebagaimana diimpikan semua peminat bola sepak tempatan,” katanya.

Tambahnya lagi, kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Annuar ketika berada barisan Kabinet kerajaan dengan menerajui Kementerian Belia dan Sukan suatu masa dahulu turut meletakkan arkitek bola sepak Kelantan itu berada dalam kelas tersendiri.

“Anda kena ingat kejayaan Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992, kejayaan membida hak selaku tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998 dan pembinaan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil semuanya dicapai ketika beliau menjadi menteri (Belia dan Sukan),” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");