Sukan Hari Ini

Annuar saran rujuk perlembagaan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyarankan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merujuk perlembagaan bagi memilih individu yang berkelayakan untuk mengetuai organisasi itu.

Annuar berkata, ahli gabungan perlu tampil ke depan mencadangkan nama yang difikirkan sesuai, namun calon bakal presiden kepada badan induk kebangsaan itu mestilah mempunyai pengalaman selain terlibat secara langsung dalam bola sepak.

Bagaimanapun menurut beliau, berdasarkan pindaan statut yang dibuat lima tahun lalu, jawatan tersebut tidak hanya spesifik kepada presiden badan gabungan tetapi terbuka kepada mana-mana aktivis seperti jurulatih, pengadil atau individu yang faham mengenai bola sepak.

“Bila ada kekosongan (jawatan) senang sahaja balik kepada peraturan, tak payah raba-raba cari orang itu, cari orang ini. Benda (peraturan) itu sudah dicatatkan di situ (statut) dan ada sebab kenapa Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan FAM buat begitu.

“Maknanya kita ingin lihat FAM dipimpin oleh seseorang yang telah dan sentiasa aktif khususnya dalam aktiviti bola sepak negara. Orang yang tak terlibat tidak akan faham segala masalah berkaitan bola sepak,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Pemilihan baharu barisan kepimpinan FAM bakal diadakan pada kongres ke-53 yang dijadualkan awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikhnya, Oktober ini.

Menurutnya lagi, FAM tidak boleh melakukan kesilapan kedua dan kesudian Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan presiden seharusnya dilihat satu pengorbanan besar dilakukan baginda terhadap sukan bola sepak negara.

“Bagi saya ucapannya (ketika kongres ke-52 lalu) sangat indah, baginda sanggup undur dan telah beri indikator kepada kita semua tetapi kalau kita masih buat macam biasa, maka tidak ada perkara yang akan berubah,” katanya.

Mengulas kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala untuk menerajui FAM, Annuar memberitahu, kedua-dua individu itu tidak layak.

Tambahnya, sekalipun kedua-dua tokoh itu mempunyai reputasi membanggakan di sebalik kejayaan menerajui syarikat besar, namun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan selok-belok bola sepak di peringkat kebangsaan.

“Tak semestinya orang itu namanya hebat di dunia. Tony kawan saya tapi beliau tak pernah urus fasal bola. Beliau (hanya) pelabur beli satu kelab, tinggal di Kuala Lumpur dan tak urus apa-apa pun, bukan (juga) urus (mengenai) bola sepak di England.

“Terus terang saya cakap Tony dan Idris bukan calon tepat (jawatan presiden). Ini (masalah FAM) bukan masalah perniagaan. Beliau mungkin berjaya dalam dunia penerbangan namun hakikatnya kapal terbang dan bola sepak adalah dua perkara yang sangat berbeza,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");