Sukan Hari Ini

Azam rampas kedudukan

Singapura: Lewis Hamilton (gambar) percaya dia mampu sekali lagi merampas kedudukan selaku pendahulu kategori pemandu daripada Nico Rosberg apabila kedudukannya diambil alih rakan sepasukannya itu kelmarin.

Hamilton pernah ketinggalan 43 mata di belakang Rosberg pada awal musim sebelum mendahului dengan kelebihan 19 mata tetapi kemenangan ketiga berturut-turut rakan sepasukannya di Mercedes itu mengakibatkan dia kini kembali ketinggalan lapan mata di tempat kedua.

Rosberg mendahului sesi kelayakan dengan kelebihan lebih setengah saat berbanding pelumba Red Bull Daniel Ricciardo sambil Hamilton mengekori di tangga ketiga. Pelumba Jerman itu mencatat kemenangan kelapan sepanjang 15 perlumbaan musim ini.

Walaupun Rosberg semakin garang, Hamilton yang mengintai kejuaraan dunia ketiga berturut-turut dan keempat secara keseluruhannya, berkata dia pasti dapat merampas kembali kedudukan di tangga teratas carta pelumba.

Dengan baki enam perlumbaan musim ini bermula dengan aksi di Malaysia dua minggu lagi, Hamilton berkata dia akan tetap bersikap positif walaupun mengharungi hujung minggu yang sukar sambil dilanda masalah mekanikal.

“Kelmarin agak sukar tapi saya gembira apabila tetap berjaya mendaki podium dan meraih mata buat pasukan,” kata Hamilton yang menamatkan saingan di tempat ketiga.

Pemandu Britain itu percaya dengan kekuatan jentera dimiliki Mercedes dan apa yang dilaluinya musim ini membuatkan dia sedar bahawa lapan mata bukan jumlah yang terlalu besar untuk diatasi.

“Kami mempunyai jentera hebat. Kami hanya perlu memastikan setiap hujung minggu menjadi milik kami,” kata Hamilton yang kehilangan separuh sesi latihan Jumaat akibat masalah hidraulik sehingga membataskan penalaan enjinnya.

“Saya pernah ketinggalan 43 mata dan justeru, secara teorinya, lapan mata bukan angka besar tapi apa yang perlu saya perhatikan adalah prestasi Nico yang semakin baik,” kata Hamilton.

“Minggu ini, dia bertindak cemerlang. Saya jangka dia akan terus cemerlang dan saya perlu memastikan saya juga begitu.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");