Sukan Hari Ini

Bagi ‘can’ lah…

Kuala Lumpur: Pengurusan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) diminta lebih berlembut dalam soal latihan pusat skuad negara biarpun jelas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ada menggariskan peraturan mewajibkan pemain hanya perlu melaporkan diri empat hari sebelum sesuatu perlawanan.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali (gambar) yang mengakui beliau sudah sampai ke tahap simpati terhadap pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee apabila perancangannya sering diganggu ketika tempoh saingan Piala AFF semakin hampir November ini.

Jelasnya, walaupun mungkin wujud rasa tidak puas hati antara pengurusan pasukan kelab itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ia boleh diselesaikan cara baik tanpa mengheret pasukan kebangsaan ke dalam masalah mereka.

“Apa yang dilakukan JDT II itu bagi saya mengikut peraturan dalam statut FIFA. Jadi, Kim Swee sememangnya perlu akur dengan situasi berkenaan.

“Begitupun, saya rasa kelab itu juga perlu berlembut sedikit dengan melepaskan pemain mereka lebih awal untuk menjalani latihan kerana seluruh rakyat Malaysia juga tahu apa masalah yang dialami jurulatih.

“Sudahlah pemain bersara, kemudian ada yang mengalami kecederaan, jadi apalah salahnya diberi kelonggaran untuk Kim Swee melatih lebih lama sedikit daripada tempoh empat hari yang ditetapkan itu.

“Kita kena faham ini persiapan pasukan Malaysia. Kalau mereka gagal di Piala AFF nanti, sudah tentu imej negara akan jatuh. Jadi bantulah, walaupun tak banyak, sikit pun jadilah,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kelmarin, kem negara menerima kejutan apabila tiga pemain JDT II – Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok – diarahkan pulang pihak pengurusan kelab mereka selepas baharu menjalani latihan di Wisma FAM Isnin lalu.

Keputusan untuk memanggil balik pemain itu mengejutkan pengendali Datuk Ong Kim Swee yang mahu mengadakan latihan lebih awal bersama 13 pemain tidak terikat dengan mana-mana pertandingan ketika ini.

Berdasarkan situasi terbaru itu, ia pasti memberi tekanan kepada Kim Swee ketika pencabar mereka di peringkat Kumpulan B nanti Myanmar dan Vietnam tenang dengan persiapan masing-masing.

Malah, sehingga kini, pengendali dari Melaka itu dilihat ‘bereksperimen’ apabila masih tercari-cari pemain untuk membarisi skuad negara di kejohanan serantau yang dianggap seperti ‘Piala Dunia ASEAN’.

“Kalau keadaan seperti ini berterusan, saya nasihatkan Kim Swee agar melupakan terus khidmat pemain dari kelab itu dan beri peluang kepada mereka yang betul-betul mahu mewakili negara,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");