Laporan Eksklusif

Berkorban bina negara progresif

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di negara ini menjadikan Aidiladha kali ini sebagai satu titik tolak untuk terus bermotivasi dan komited dalam meningkatkan mutu serta nilai pengorbanan.

Perdana menteri berkata, mereka semestinya mengambil iktibar daripada peristiwa korban yang dinukilkan di dalam al-Quran yang turut menyentuh soal kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

“Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha melalui catatan laman blog www.najibrazak.com.

Najib menekankan bahawa ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala, tetapi ia juga meletakkan ke dalam jiwa tentang sejauh mana pengorbanan yang perlu dilakukan kepada agama Allah SWT dalam menjalani kehidupan sehingga mampu mengetepikan kepentingan diri dan tuntutan peribadi.

“Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri. Inilah yang kita dipelajari daripada sirah Rasulullah SAW yang memberi inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita dalam membangunkan negara tercinta ini,” katanya.

Najib sekali gus mengajak masyarakat untuk bersama-sama berjuang dan berkorban untuk membina masa depan negara yang lebih maju dan progresif sebagai sebuah negara Islam berteraskan maqasid syariah.

Perdana menteri berkata, beliau dan keluarga berdoa supaya jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat mengerjakan ibadah itu dengan selamat dan dikurniakan haji mabrur.

“Bagi mereka yang lain, marilah kita menyertai Hujjaj dengan doa restu, takbir, tahmid dan tahlil di samping melaksanakan ibadah korban dengan menghayati roh pensyariatannya.

“Marilah kita sama-sama mengambil peluang hari-hari yang penuh barakah ini untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan yang bertambah dan berterusan bagi negara kita yang tercinta,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");