Isu Panas

Cadangan akta baharu berkaitan pembiayaan politik

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mencadangkan satu akta baharu, Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal bagi menangani isu berkaitan pembiayaan politik yang telah lama wujud.

Pengerusinya, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, pihaknya mencadangkan 32 syor termasuk akta itu yang bakal dibentangkan dalam Kabinet dalam tempoh dua minggu.

“Saya perlu akui cabaran terbesar kami adalah untuk memastikan akta ini diluluskan.

“Sebagai menteri dan pengerusi jawatankuasa ini, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan akta ini lulus memandangkan ia satu keperluan saat ini.

“Tahun ini isu berkaitan pembiayaan politik dibangkitkan. Kita tidak ada undang-undang berkaitannya dan ini tidak sihat,” katanya pada sidang media ketika membentangkan Laporan Pembiayaan Politik JKNMPP.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi tumpuan berhubung isu RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia sumbangan penderma.

Susulan itu, Najib menubuhkan JKNMPP pada 14 Ogos tahun lalu dalam usaha membuah penambahbaikan bagi memenuhi keprihatinan orang ramai berhubung soal integriti dalam pembiayaan politik.

Dalam pada itu, Paul Low yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, melalui cadangan pihaknya itu segala sumbangan politik yang melebihi RM3,000 perlu diisytiharkan kepada pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik di mana ia perlu dimasukkan dalam akaun parti ataupun akaun peribadi khusus seseorang ahli politik.

“Ahli politik itu perlu buka akaun peribadi baharu berasingan untuk transaksi itu. Bukan akaun peribadi sedia ada.

“Dana diterima daripada sumber tidak diketahui harus disita. Oleh itu, semua dana yang diterima perlu diisytiharkan kepada Pengawal. Jika tidak, siasatan akan dijalankan dan dikenakan tindakan,” katanya.

Tegasnya, sumbangan tunai daripada sumber asing kepada parti atau ahli politik harus diharamkan.

“Ini termasuk individu, syarikat, yayasan, organisasi, persatuan atau mana-mana entititi yang berdaftar atau tidak berdaftar serta tidak berpejabat di Malaysia.

“Perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan atau konsesi masing-masing dilarang dan diharamkan daripada membuat sumbangan politik secara langsung, tidak langsung atau berupa barangan,” katanya.

Namun katanya, tiada keperluan had dikenakan ke atas amaun yang boleh disumbangkan kepada parti atau ahli politik.

“Parti-parti dan ahli politik yang berjaya mungkin dapat mengumpulkan lebih banyak wang.

“Usaha untuk mewujudkan persaingan yang adil tidak harus merangkumi langkah-langkah ke arah membawa kesemua pesaing ke paras biasa yang diterima umum,” katanya.

Namun, beliau tidak menolak segala cadangan yang digariskan pihaknya itu mungkin akan dipinda susulan ia belum dibentangkan kepada Kabinet.

Ketika ditanya tempoh yang mungkin akta itu diluluskan, Paul Low berkata, cadangan itu perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum didrafkan sebagai Rang Undang-Undang untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

“Kalau ditanya akta ini dapat diimplementasikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) saya tak pasti.

“Namun yang saya pasti, ia dapat dilaksanakan dalam PRU15,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");