Sukan Hari Ini

Celtic lebur impian Guardiola

Glasgow: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berharap pemainnya akan belajar daripada kesilapan selepas rekod 100 peratus mereka berkubur musim ini ketika seri 3-3 dengan Celtic pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Menyasarkan untuk menyamai rekod Inggeris milik Tottenham Hotspur dengan 11 kemenangan berturut-turut pada awal musim, City terpaksa bangkit tiga kali untuk meraih satu mata pada aksi Kumpulan C di Glasgow.

City layak ke separuh akhir di bawah kendalian Manuel Pellegrini musim lalu, namun bukan buat kali pertama, Guardiola menegaskan mengenai kekurangan mereka apabila bertanding di Eropah.

“Kelab ini 25, 26 tahun tidak bermain di Eropah dan tahun lalu kali pertama melepasi peringkat suku akhir,” katanya.

“Jadi, ia satu pengajaran berguna. Eropah amat istimewa, semua pasukan kuat. Tidak kira di mana sekalipun. Lawan di sini, Celtic, satu suasana menakjubkan dengan penyokongnya dan kami menyedarinya.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk memenangi perlawanan. Kami menjaringkan tiga gol di laman lawan di Eropah dan kami mencipta tiga atau empat lagi peluang terbaik.

“Jadi, ia amat menyedihkan, tapi inilah cara terbaik untuk belajar. Di Eropah anda tidak boleh melepaskan gol kerana mereka bagaikan mesin jentera. Apabila anda dibolosi, apabila anda melakukan kesilapan, mereka akan menghukum anda.”

Penyerang Perancis, Moussa Dembele, 20, menjadi wira Celtic apabila dua kali meletakkan tuan rumah di depan.

Namun, gol pembukaannya pada minit ketiga disamakan Fernandinho dan selepas Raheem Sterling menjaringkan gol sendiri serta kemudian menambah gol buat City, gol kedua Dembele menerusi satu voli mengagumkan disamakan pula oleh Nolito. – AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");