Membawang Hari Ini

Chanyeol, Lay buka langkah

Sejak ditubuhkan pada 2011, kumpulan EXO yang mulanya dianggotai 12 jejaka, berjaya mencuri hati peminat bukan saja di Korea Selatan, malah China.

Kolaborasi mereka bukan saja secara berkumpulan malah masing-masing hebat secara solo. Kini selepas tiga anggotanya meninggalkan kumpulan itu, tinggal sembilan orang menerajui EXO dan mereka dibahagikan kepada dua, EXO-K dan EXO-M.

EXO-K bermaksud EXO Korea iaitu ahlinya berasal dari Korea seperti Suho, D.O, Baekhyun, Chanyeol, Kai dan Sehun manakala EXO-M pula EXO Mandarin berasal dari China seperti Kris, Luhan, Tao dan Lay manakala Xiumin dan Chen adalah ahli EXO-M tetapi berasal dari Korea.

Anggota EXO juga bebas berkolaborasi dengan artis lain. Terbaru, Chanyeol dalam proses kerjasama dengan kumpulan hip hop popular, Far East Movement.

Sebelum ini dia pernah berkias mengenai itu selepas memuat naik foto bersama Far East Movement dalam studio di laman Instagramnya.

Selepas itu, sumber SM Entertainment mengesahkan pembabitan Chanyeol yang didakwa akan menyanyi rap dalam satu lagu Far East Movement.

Kumpulan yang popular dengan lagu Like A G6 pada 2010, baru saja bekerjasama dengan Yoon Mi Rae untuk lagu terbaru penyanyi itu, Jam Come On Baby.

Bukan setakat Chanyeol, Lay juga dalam proses menghasilkan album solo pertama. Dalam satu laporan eksklusif, Lay akan melancarkan album sulung di China dan dia kini dalam proses menyiapkannya sebelum penghujung tahun ini.

Namun, belum pasti sama ada Lay akan turut menjalani aktiviti promosi album di Korea. Lay sebelum ini pernah melancarkan track solo melalui radio SM Station, Monodrama, Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Lay pernah mengatakan hubungan persahabatan dengan Leo daripada kumpulan VIXX di dalam rancangan Star Show 360 di saluran MBC.

Pada rancangan hiburan itu, rakaman video Leo bercakap mengenai Lay dimainkan.

Kata Leo, Lay yang dia kenal seorang yang baik hati, prihatin dan tahu menjaga hati orang lain.

“Dia kawan yang baik dan ada banyak bakat. Kami menjadi kawan ketika satu rancangan muzikal apabila dia memberitahu saya seorang yang ‘cool’ sedari Super Hero.

“Saya sebenarnya pemalu dan segan dengan imej saya waktu itu. Jadi saya nak tanya apa yang buatkan dia terfikir saya ‘cool’ ketika bersama Super Hero dulu?” katanya.

Selepas menonton video itu, Leeteuk pula memberi komen mengatakan terkejut dengan hubungan persahabatan antara Lay dan Leo.

Lay juga terkejut dengan pendedahan Leo. Katanya, mereka rapat ketika itu kerana tiada pilihan.

“Pada masa itu rasanya nampak pelik jika tidak bertegur sapa. Jadi, kami mula berbual,” katanya.

Sebaik saja mendengar jawapan Lay, Tak Jae Hoon berseloroh berkata apabila dia memuji Leo, pasti selebriti itu berbangga dan bercerita mengenai hal itu kepada jiran tetangga.

Pun begitu, Lay akui pujiannya ikhlas sebab Leo menari dengan baik dan memang nampak ‘cool’ pada waktu itu sehinggalah kini.

Selepas pengacara menunjukkan foto mereka berdua berbisik di pentas dalam satu rancangan muzik, Leetuk bertanya semula.

“Pernahkah kamu pegang punggung Leo juga?” tanya Leetuk ketawa sambil menunjukkan caranya pada Tak Jae Hoon.

Lay yang malu menafikan pernah melakukannya lantas mengundang ketawa rakan EXO lain.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");