Jenayah

Dadah bernilai RM176,805 dirampas

KOTA BHARU – Polis Kelantan berjaya menahan tujuh individu yang disyaki pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM176,805 dalam empat serbuan di lokasi berasingan di daerah ini pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 23 tahun berjaya diberkas oleh sepasukan cawangan risik Batalion 7 (BN7) Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam penugasan Ops Penguatkuasa Risikan Sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 3.20 pagi Khamis lalu.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai jurujual minyak wangi itu ditahan di sebuah rumah di Pasir Tumboh dan hasil pemeriksaan menjumpai satu bungkusan plastik di atas bumbung garaj kereta, di dalamnya mengandungi tiga bungkusan kertas dan setiap satunya mengandungi pil kuda.

“Pemeriksaan seterusnya menjumpai satu lagi bungkusan yang mengandungi sejumlah pil Yaba, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas 8400 biji bernilai RM168,000, dalam serbuan itu sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Viva turut dirampas. Suspek yang mempunyai dua rekod kes lampau kini disiasat bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan direman tujuh hari bermula kelmarin,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) semalam.

Sementara itu, Ab Rahman berkata, tiga kes berjaya ditumpaskan sepanjang Operasi Ops Tapis yang dijalankan pada 21 dan 22 September baru-baru ini.

Bagi kes pertama, serbuan oleh BN7 Briged Tenggara PGA pada jam 10.30 malam Rabu lalu berjaya menahan dua lelaki berusia 18 dan 33 tahun di sebuah rumah dekat Kampung Chicha.

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik berisi 178 pil Yaba, tujuh bungkusan plastik berisi daun ketum dengan anggaran berat 1 kilogram, tiga botol kecil berisi cecair kehitaman dadah jenis kodeim (0.0270 Liter) dengan nilai rampasan berjumlah RM3,620,” katanya.

Tambahnya, bagi kes kedua, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK berjaya merampas 200 pil Yaba bernilai RM4000 dalam serbuan pada jam 3.15 petang di kawasan Jalan Kubur Maras Langgar, Khamis lalu.

“Berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan menjumpai satu paket plastik berisi 200 pil Yaba.

“Bagi kes ketiga, pada tarikh sama jam 11.30 pagi, Bahagian Narkotik IPD Kota Bharu menahan tiga suspek lelaki berusia 31, 25 dan 42 tahun dalam serbuan di Kampung Pintu Geng,” katanya.

Katanya, hasil tangkapan tiga suspek itu, polis berjaya merampas 53 pil Erimin 5, 10 pil WY, lima botol cecair kehijauan dan 13 bungkusan plastik berisi ketum (17.39 liter) dan dua botol plastik berisi cecair kehitaman disyaki dadah jenis Kodein (180 milimiter) dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM1,185.

Ketiga-tiga kes yang berjaya dipatahkan dalam Ops Tapis tersebut disiasat di bawah Sek 39A(1) ADB 1952 dan Sek 12(2) ADB 1952 dan keenam-enam suspek tersebut direman selama empat hari sehingga Isnin depan.

Ab Rahman menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat, di mana pihak polis amat menghargai setiap usaha masyarakat untuk turut sama membendung masalah dadah dan jenayah di negeri ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");