Jenayah

‘Hantu’ bilik meter

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang juga penagih dadah menjadikan bilik meter elektrik projek perumahan rakyat (PPR) sebagai kediaman serta tempat melepaskan gian sejak 12 tahun lalu.

Perbuatan lelaki terbabit didedahkan hasil Ops Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri ke-27 di PPR Sri Perak di sini.

Operasi itu dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil aduan penghuni mengenai kegiatan penagih yang menjadikan PPR berkenaan sebagai tempat berlindung serta melepaskan gian.

Lelaki terbabit antara 44 individu termasuk empat remaja yang ditahan di sekitar ibu negara pada operasi bermula jam 11 malam hingga 3 pagi, semalam.

Ketika ditanya wartawan Harian Metro, lelaki berusia 48 tahun itu mendakwa menjadikan bilik meter elektrik berkenaan sebagai tempat tinggal kerana tidak mampu menyewa rumah.

“Saya tiada kerja tetap selain menagih. Walaupun kerap diusir penghuni di sini, saya berpindah ke bilik meter elektrik di tingkat lain atau blok berdekatan kerana banyak bilik sama di bangunan PPR ini.

“Kawasan ini lebih selamat berbanding merempat di kaki lima dan di semak kerana ia mudah dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, semua individu terbabit ditahan pada operasi yang menyasarkan PPR, hotel bajet dan pusat judi atas talian.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 24 individu ditahan AADK selepas didapati positif dadah. Mereka terdiri daripada 20 lelaki dan empat perempuan berumur 13 tahun hingga 60 tahun.

“Daripada 24 individu itu, 13 ditahan di PPR Sri Perak. Kami memandang serius kegiatan penagih yang menjadikan PPR sebagai tempat melepaskan gian,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, aktiviti penagihan dadah dijalankan di rumah kosong dan kawasan gelap, namun kini beralih di PPR.

“Menerusi operasi ini, kita dapat lihat ada rumah keluarga dijadikan pusat bagi melepaskan gian dan mengedar dadah.

“Bayangkan, dalam satu keluarga, sekiranya ibu bapa terbabit penyalahgunaan dadah, ia pasti mendorong anak mereka untuk turut terjebak,” katanya.

Mengulas mengenai operasi itu, Adnan memaklumkan, 13 individu turut ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana berkhalwat.

Manakala Jabatan Imigresen pula menahan empat warga asing termasuk tiga wanita disyaki pelacur dari Myanmar, India dan China kerana tidak memiliki dokumen serta menyalahgunakan pas lawatan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");