Berita Hari Ini

IDE jawab dakwaan hasil kajian bias

SHAH ALAM – Institut Darul Ehsan (IDE) menafikan hasil kajian yang dibuat berkaitan Isu dan Persepsi Pengundi Selangor memihak kepada kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata kajian yang dijalankan bukan untuk menunjukkan siapa yang menang dan siapa yang kalah.

“Saya faham ia (dakwaan bias) sukar untuk dijelaskan. Saya telah menyatakan pendirian saya dengan jelas iaitu saya ahli akademik dan bukan ahli mana-mana parti politik.

“Sebab itu kami menerangkan metodologi kami dan boleh buktikan ini cara terbaik untuk menjalankan kajian.

“Ketika kami buat kajian ini, menteri besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tak tahu pun apa kami buat. Saya tak bentangkan lagi kepada beliau,” katanya pada sidang media selepas pembentangan hasil kajian tersebut, di sini, semalam.

Menurut hasil kajian itu, Pakatan di Selangor disokong pengundi dengan 59 peratus manakala 29 peratus memilih BN dan 12 peratus lagi tidak menyokong mana-mana parti.

Dalam pada itu, Mohamad Redzuan beranggapan kemungkinan dakwaan seumpama itu wujud kerana ada yang menganggap hasil kajian itu sesuatu yang mutlak.

“Sedangkan apa yang dibentangkan ini adalah apa yang berlaku dua atau tiga minggu yang lalu. Dalam politik ini, satu hari itu merupakan hari yang panjang. Apatah lagi sebulan, setahun.

“Maknanya apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh itu. Dengan sebab itu, kajian kami lakukan ini bukan untuk menentukan siapa menang siapa kalah,” katanya.

Menurutnya hasil kajian itu juga boleh bertukar berdasarkan pendekatan-pendekatan yang dilakukan secara proaktif dalam menangani isu-isu yang dikemukakan.

“Bagi saya terpulang bagaimana penerimaan ahli politik terhadap kajian kami. Kalau kajian kata dia menang, betullah kajian itu. Kalau kalah, tak betullah kajian itu.

“Bagi saya bukan ini isunya. Tapi yang penting bagaimana kami mendapatkan data dan bagaimana data ini boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua parti,” katanya.

Katanya, pencapaian IDE sejak 2013 telah membuktikan pihaknya berjaya menghasilkan kajian-kajian yang hampir tepat dengan apa yang akan berlaku termasuk dalam pilihan raya kecil di Kajang, Permatang Pauh, Teluk Intan dan Sungai Besar.

“Bermakna kalau dengan senario yang berlaku ini, PR kalau bertanding tiga penjuru, mereka hampir tidak berpeluang mencapai kemenangan.

“Tapi kalau mereka merasakan mereka kuat, mereka boleh teruskan,” katanya.

Hasil kajian itu menunjukkan pertembungan tiga penjuru hanya memberi keuntungan kepada BN kerana perpecahan undi Pakatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");