Berita Hari Ini

IPTS Bumiputera perlu ubah kaedah, program untuk tingkat pencapaian

PUTRAJAYA: Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera di negara ini perlu berubah mengikut peredaran masa bagi meningkatkan prestasi institusi dan graduan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata IPTS disaran mengguna pakai kaedah dan program diterapkan kementerian di universiti awam (UA) bagi memaju serta meningkatkan pencapaian kolej dan IPTS.

“IPTS perlu bina kekuatan, perlu ada tindakan sesuai termasuk mengukuhkan persatuan untuk menghadapi cabaran sektor pendidikan masa kini.

“Jalinkan juga kerjasama dengan UA selain mengguna pakai kaedah dan program seperti 2u2i (dua tahun universiti, dua tahun industri) atau pun CEO Fakulti untuk meningkatkan pencapaian dan kemahiran graduan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputra Malaysia (PKIBM) di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS), Prof Datuk Dr Roziah Omar dan Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa.

Idris berkata, IPTS adalah satu organisasi perniagaan yang memerlukan semangat yang kuat untuk terus maju.

“Pendidikan masa kini sudah berubah, IPTS tidak akan relevan dan menjadi pilihan kalau tidak berubah, jadi perlu laksanakan program pendidikan yang lebih fleksibel,” katanya.

Pada majlis terbabit 10 kategori anugerah diberikan kepada IPTS antaranya IPTS Paling Ramai Pelajar Antarabangsa yang dimenangi Kolej Universiti Geomatika.

Tiga akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd iaitu BH, Harian Metro, dan New Straits Times turut menerima sijil penghargaan pada majlis itu.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");