Sukan Hari Ini

‘Jangan hanyut’

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih paralimpik negara R Jaganathan tidak mahu anak didiknya hanyut dengan kejayaan di temasya Paralimpik Rio dan mahu kesemua atlet negara kembali fokus terhadap latihan selepas rehat dua minggu.

Disambut meriah ribuan penyokong sebagai tanda penghargaan atas kejayaan penuh gemilang, Jaganathan berkata, misi atlet negara belum berakhir kerana perlu berdepan dengan Kejohanan Dunia di London Julai tahun depan.

Katanya, jika dulu kejayaan kontinjen negara di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar dengan membawa pulang dua emas dan tiga gangsa, beliau berharap pencapaian itu dapat diperbaiki.

“Kejayaan di Doha tidak diketahui ramai, tapi kali ini pasti mendapat perhatian. Selepas apa yang dilakarkan di Rio mereka kini menjadi atlet luar biasa dengan perkembangan masing-masing sentiasa dipantau.

“Saya berharap sokongan terhadap atlet paralimpik diteruskan dan tidak terhenti setakat ini. Jika sokongan seperti ini yang kami peroleh, saya berjanji untuk mendapatkan lebih banyak pingat,” katanya.

Cabaran atlet paralimpik negara akan diteruskan dengan menyertai Kejohanan Grand Prix IPC di Doha, Februari tahun depan.

Sementara itu, anak didik Jaganathan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berkata, semangat juangnya semakin membara dan berharap untuk membuat yang lebih baik pada temasya Paralimpik 2020 Tokyo.

Dia yang menyumbangkan emas pertama negara di Rio turut berharap rakan sepelatih yang lain lebih berjaya daripadanya.

“Sasaran saya adalah untuk buat yang terbaik pada 2020 nanti. Saya juga berharap rakan-rakan akan lebih berjaya. Jika mahu berjaya, dapatkan restu ibu bapa,” katanya.

Ridzuan menghadiahkan emas pertama negara di temasya itu dalam tempoh 44 tahun menerusi acara 100 meter T36 (cerebral palsy) dengan catatan 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine (12.25s) yang dilakukan di Beijing 2008.

Perak dimenangi Yang Yifei dari China (12.20s) dan gangsa Rodrigo Parreira da Silva Brazil (12.54s).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");