Sukan Hari Ini

Kelantan Warriors elak tekanan, sasar separuh akhir

MARA ke separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sudah dianggap memadai bagi Kelantan Warriors seperti mana pencapaian musim lalu.

Jurulatihnya, Mohd Rozi Abdul Rahman berkata, satu bonus buat pasukan jika anak-anak buahnya mampu melepasi sasaran itu dalam liga melibatkan lapan pasukan yang bermula Jumaat ini.

“Musim lalu kami disekat Black Panthers (kini Penang Panthers yang juga naib juara 2015) 2-1 dalam separuh akhir tetapi itu pun hanya selepas lawan diberikan tentangan habis-habisan (19-21, 21-17, 16-21), (16-21, 21-12, 21-19), (7-21, 18-21).

“Sasaran kali ini cuma separuh akhir seperti musim 2015. Kalau terlalu tinggi, jadi bebanan atau tekanan kepada pasukan pula tetapi kalau capai lebih baik, satu bonuslah buat Kelantan Warriors,” kata Mohd Rozi yang tugasnya bakal dibantu Baharil Anuar Che Mamat.

Kelantan Warriors (Gomo Warriors musim lalu), membariskan kebanyakan pemain berusia awal 20-an tanpa nama besar iaitu Aidil Aiman Azwawi, Yusry Yusoff, Wan Naim Izani Wan Mohd Noor, Aiman Fouzi, Hafiz Rawi dan Ikhwan Rahman.

Hanya tekong, Mohd Hisyam Mat, 25, dan apit kiri atau pengumpan, Mohamad Saufi Salleh, 30, merupakan tonggak mereka yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Mohd Rozi, 43, yang juga jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) turut memaklumkan kesemua empat tekongnya dalam STL musim lalu dikekalkan.

Mengenai aksi sulung menentang Penang Panthers, Sabtu ini, katanya, kedua-dua pasukan punya peluang sama rata.

“Apa sahaja boleh berlaku walaupun lawan baru-baru ini mara ke separuh akhir Grand Prix 1Malaysia.

“Yang penting keyakinan Kelantan Warriors perlu ada,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");