Berita Hari Ini

Kerjasama 3 negara tangani jenayah di Laut Sulu

KOTA KINABALU: Malaysia, Indonesia dan Filipina perlu meningkatkan kerjasama serantau dalam menangani jenayah rentas sempadan di Laut Sulu yang secara berterusan mengancam keselamatan perairan pantai timur Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kerjasama sedia ada antara ketiga-tiga negara belum memadai, selain kurang berkesan dalam mengekang aktiviti jenayah termasuk penculikan.

“Cara terbaik ialah mengadakan persidangan peringkat wilayah berkaitan masalah keselamatan yang dihadapi sempadan perairan ketiga-tiga negara khususnya di Laut Sulu.

“Ini dapat dilakukan menerusi semangat ASEAN. Walaupun ada perbincangan diadakan tetapi kita belum nampak kesannya. “Apa yang kita mahu ialah pelaksanaan jelas berkaitan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Alam Sekitar Marin: Keselamatan dan Pembangunan di Laut, di sini, hari ini.

Bengkel dua hari itu dianjurkan Institut Maritim Malaysia (MIMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Sairin Karno; Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Ketua Pengarah MIMA, Laksamana Pertama Datuk Chin Yoon Chin.

Masidi berkata, pasukan keselamatan perlu menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang dalam mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan di perairan negeri ini bagi menimbulkan kegerunan dalam kalangan penjenayah atau pendatang asing.

“Walaupun kita memikirkan faktor kemanusiaan dalam tindakan diambil, dalam soal keselamatan rakyat negeri ini kita perlu lebih tegas memastikan undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");