Sukan Hari Ini

Ketiadaan tonggak utama punca tewas

KETIADAAN beberapa tonggak utama pasukan bola sepak Terengganu antara punca skuad Penyu dihukum di laman sendiri apabila tewas 0-3 kepada pasukan Kedah malam tadi, kata Ketua jurulatih pasukan itu, Mustafa Kamal Abd Wahab.

“Kami kehilangan beberapa tonggak utama seperti Nordin Alias yang tidak diturunkan akibat cedera, memaksa kami mengubah senarai…itu menjadi kekangan kami,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, dekat sini.

Bagaimanapun Mustafa Kamal masih menaruh harapan nasib terus menyebelahi pasukan itu bagi memastikan ia terus kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan.

Katanya, selain bergantung kepada nasib dan komitmen, para pemain ditagih bagi merealisasikan harapan itu.

Untuk rekod Terengganu kini menghuni tangga tercorot liga selepas mengumpul 19 mata daripada 21 perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol pasukan pelawat dijaringkan Thiago Augusto Fernande di minit ke-13 dan 80 sebelum Smetls Shane Edward menyumbangkan satu gol di minit ke-62.

Sementara itu pengendali pasukan Kedah Tan Cheng Hoe berharap kemenangan yang diperoleh itu, menjadi suntikan semangat untuk berjuang dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia nanti.

Katanya tiada laluan mudah untuk menang dalam setiap perlawanan dan berharap anak didiknya terus bijak menggunakan peluang untuk menyaingi pasukan lawan.

“Tidak kira dalam apa jua perlawanan kami akan memberi impak terbaik bagi mengatasi pasukan lawan dan kemenangan malam tadi dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk mengulangi kejayaan dalam saingan Piala Malaysia di peringkat separuh akhir nanti,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");