Membawang Hari Ini

Melodi hati untuk suami

Selepas bercinta selama dua tahun, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Ain menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan Mohamad Najib Mohd Ali, 37, yang juga duda anak dua pada 10 September lalu.

Ain atau nama sebenarnya Nadiawati Ainul Basir, 30, berkata, sejak awal perkenalan lagi dia sudah mengetahui status suaminya itu.

“Ketika kami mula berkenalan suami sudah menduda hampir empat tahun. Saya tidak kisah mengenai statusnya asal saja dia bukan suami orang. Itu yang saya cuba elakkan.

“Apa yang penting bagi saya dia baik, penyayang dan bertanggungjawab dalam segala hal, malah suami juga bukan jenis yang suka membuang masa nak bercinta dalam tempoh lama.

“Lagipun, apabila mengenali suami dia mulai memperkenalkan rakannya kepada saya. Dari situ saya semakin yakin mengenai kehidupannya. Pada masa sama timbul kesedaran untuk berubah,” katanya.

Menurut Ain, kesungguhan yang ditunjukkan Najib membuatkan dia terbuka hati untuk menerimanya sebagai suami.

Pada November 2014, Najib melamar Ain sekali gus melangsungkan pertunangan di Pulau Pinang.

“Kebetulan pada waktu itu keluarga saya datang bercuti. Jadi dia ambil kesempatan itu dengan merisik dan seterusnya bertunang. Majlis yang diadakan pula secara sederhana.

“Cara dan sikap yang ditunjukkan itu membuktikan betapa dia memang bersungguh untuk memperisterikan saya. Ketika itu perhubungan kami baru berlangsung beberapa bulan tapi dia memang serius,” katanya.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah itu, Ain menerima mas kahwin RM1,000 berserta wang hantaran RM10,000 dan tiga dulang hantaran, manakala pihak lelaki membalas dengan lima dulang.

Ia disusuli majlis resepsi pada 18 September lalu di Dewan Komuniti Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Istimewanya, pada majlis itu Ain menyanyikan lagu berjudul Melodi Hati yang dicipta khas buat suami tercinta.

“Sebenarnya lagu ini sudah siap dirakam pada 2010 tetapi saya tidak menerbitkannya. Apabila mengambil keputusan berkahwin, saya terfikir untuk menghadiahkan lagu itu.

“Jadi saya menulis semula liriknya dan meminta bantuan Faizul AF untuk membuat susunan muzik. Lagu itu adalah luahan hati saya kepada suami sepanjang kami bercinta,” katanya.

Berkenaan kerjaya seninya, Ain secara terus terang memaklumkan dia tidak yakin untuk terus berada dalam bidang seni.

“Suami tidak pernah menghalang untuk meneruskan kerjaya, cuma saya seperti berputus asa selepas enam tahun berada dalam industri muzik. Bukan apa, selama ini saya cuba menempatkan diri tetapi gagal.

“Namun suami tetap memberi sokongan. Disebablan itu, saya mahu mencuba lagi dengan mempertaruhkan lagu Melodi Hati. Sekiranya tak menjadi juga, mungkin saya berhenti menyanyi dan menjadi suri rumah saja,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan anak, Ain menyerahkan kepada rezeki Allah. Namun dia berharap segera dikurniakan cahaya mata.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");