Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Yakin Boleh Jinakkan PAS

KUALA LUMPUR:Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinan bahawa boleh menjadi “glue” (pengikat) agar PAS bersama dengan pakatan pembangkang, dalam usaha memastikan pembangkang tidak terlibat dalam perlawanan 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Memetik sumber Freemalaysiatoday, Muhyiddin baru-baru ini mendedahkan beliau menemui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan perkara itu.

“Kita yakin boleh menjadi ‘glue’ kepada PAS agar terus bersama melawan BN dalam pilihan raya nanti,” katanya dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin PPBM Kelantan baru-baru ini.

Sementara itu difahamkan esok, bekas timbalan presiden Umno itu dilaporkan akan tampil di atas pentas PAS buat julung kalinya, dalam program anjuran PAS Terengganu.

Muhyiddin dijadual menyampaikan ceramah pada program “Himpunan Harapan Semua” itu bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Biarpun dilihat Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bersetuju bekerjasama dengan PPBM, pendirian PAS seakan masih samar, dengan tiada keputusan jelas dari pucuk pimpinan sama ada ia akan mengadakan kerjasama dengan parti yang berusia kurang sebulan itu.

PAS dilihat kurang senang dengan kehadiran DAP dan Amanah, sementara masih menjalinkan hubungan dengan PKR.

PKR juga terus berusaha memujuk PAS agar terus bersama pembangkang bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum yang perlu diadakan pada 2018.

Kontroversi yang dicetuskan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah peta pilihan raya, yang dilihat pembangkang satu langkah memenangkan BN, turut mendatangkan kesan kepada PAS.

Ia berikutan walaupun PAS dilihat semakin mesra dengan Umno, kepentingan politiknya akan terjejas sekiranya persempadanan semula SPR diluluskan, termasuk di kawasan yang diwakili Hadi di Marang, Terengganu.

Malah Pusat kajian di bawah kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini juga berkata BN boleh dikalahkan pada pilihan raya dengan syarat pembangkang berdepan satu lawan satu.

Timbalan Pengerusi IDE, Datuk Dr Redzuan Othman pula berkata pertandingan 3 penjuru hanya akan menguntungkan BN walaupun dengan peta pilihan raya sedia ada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");