Membawang Hari Ini

Mya Herry mahu fokus menyanyi

MENGATUR langkah bergaya ke persada seni tempatan selepas memenangi pertandingan nyanyian, Maya Hariyanto atau nama komersialnya, Mya Herry, tidak sabar menantikan reaksi pencinta seni apabila bakal muncul dengan single solo pertamanya, Seharus Cinta Setia tidak lama lagi.

Apa yang menarik, single yang bakal dipasarkan pada penghujung tahun itu turut menampilkan pendatang baharu, Nadzmi Adhwa sebagai penyanyi jemputan.

Berkongsi mengenai perkhabaran tersebut, anak pertama daripada tiga beradik ini mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terujanya.

“Jujur, saya rasa bertuah kerana diberi peluang oleh syarikat pengurusan, Like Music Entertaiment Sdn Bhd menjadikan saya sebagai artis sulung naungan mereka.

“Apabila ada perancangan untuk menampilkan aktor tersebut sebagai kelainan untuk single ini, tentunya keterujaan saya menjadi lebih berganda.

“Sebelum ini saya sudah pun mempunyai dua single iaitu Pengakuan dan Kamu bersama kumpulan Tiga yang mana saya merupakan salah seorang ahlinya.

“Jadi bila sudah bergerak solo dan diberi peluang untuk merakamkan single baru, tentunya saya rasa berbangga. Setakat ini, Nadzmi pun memberi kerjasama baik dan harapnya perancangan ini akan berjalan lancar seperti dyang dirancang,” katanya.

Ditanya mengenai hala tujunya dalam dunia seni, Mya yang menyifatkan dirinya masih lagi hijau, memberitahu kecintaannya terhadap nyanyian bercambah sejak kecil lagi.

“Saya aktif menyanyi ketika di sekolah rendah. Sejak itu saya cabar diri dengan menyertai pertandingan nyanyian di sekitar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, pertemuan bersama ahli kumpulan Tiga, seterusnya dipelawa Datin Alyah yang merupakan pemilik syarikat pengurusan sekarang pastinya memberi sinar harapan untuk saya terus mempersembahkan bakat nyanyian yang ada sebagai sumber rezeki,” katanya yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza, Selena Gomez dan Ariana Grande sebagai idola.

Pada masa sama, penyanyi berusia 24 tahun ini berharap agar lagu tersebut akan menjadi penanda aras untuk terus kekal dalam dunia seni.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");