Membawang Hari Ini

Pelakon baru taruhan Tangisan Izara

Walaupun ada kebimbangan di hati pengarah Shuhaimi Lua Abdullah untuk mengambil pelakon baru yang sedang menjadi perhatian ramai, Raja Afiq Raja Razali bagi memainkan peranan utama dalam drama terbitan dan arahan terbarunya, Tangisan Izara, sebagai pengkarya dia perlu memberi ruang kepada bakat baru itu kerana tidak selamanya bergantung kepada pelakon lama.

Menurut Shuhaimi, bukan dia melupakan terus pelakon lama tetapi dengan perkembangan pesat penerbitan drama hari ini, khidmat pelakon pelapis amat diperlukan dan Raja Afiq antara wajah baru yang bakatnya perlu digilap.

“Walaupun agak berisiko kerana watak Raja Afiq dalam Tangisan Izara agak berat, saya percaya jika diberi ruang dia mampu menjadi pelakon serba boleh.

“Ketika melihat lakonannya dalam drama Sayangku Kapten Mukriz, saya rasa ada lagi bakatnya yang tersembunyi. Jadi, saya nekad melamarnya menerajui Tangisan Izara,” katanya.

Shuhaimi berkata, dia juga gemar mengambil pelakon baru kerana lakonan mereka mudah dibentuk.

“Apabila mereka digandingkan dengan pelakon lama seperti Ku Fridah, ia mewarnakan lagi jalan ceritanya asalkan pelakon baru itu sanggup belajar dan mendengar arahan saya.

“Ada juga dalam kalangan pelakon baru berasakan mereka sudah cukup bagus dan enggan patuh arahan pengarah sedangkan dia tidak tahu arah tuju sesebuah penceritaan itu.

“Pelakon seperti itu kerjayanya tidak akan ke mana atau akhirnya hanya boleh membawakan watak biasa-biasa saja,” katanya.

Menceritakan keserasian Raja Afiq dengan Janna Nick yang juga heroin telefilem itu, Shuhaimi berkata, pada ‘pertemuan pertama’ sesiapa pun akan terasa kekok.

“Bagaimanapun, mereka berdua cepat mesra di lokasi sehingga memudahkan kerja pengarahan saya. Ini kali kedua Janna bekerja dengan saya. Kali pertama menerusi telefilem Hilangnya Kasih,” katanya.

Sebelum ini kebanyakan telefilem arahan Shuhaimi mendapat sambutan yang sangat bagus dan menjadi ‘trending’, jadi dia berharap Tangisan Izara akan mendapat perhatian sama daripada penonton.

“Semoga apa yang ingin saya sampaikan dalam telefilem ini akan dapat dihayati dan diteladani penonton. Masih ada orang di dalam masyarakat menyayangi kanak-kanak malang seperti Izara (lakonan Puteri Balqis) yang kematian ibu bapa.

“Saya percaya gandingan hebat Raja Afiq, Janna Nick, Puteri Balqis dan Ku Fridah akan meruntunkan air mata penonton,” katanya.

Tangisan Izara akan ditayangkan menerusi slot Cerekarama TV3, pada 12 November ini, jam 9 malam.

Kasih dua anak yatim piatu

Telefilem ini mengisahkan seorang eksekutif bernama Haikal (lakonan Raja Afiq) dan isterinya Raihana (Janna Nick) yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta.

Pasangan muda itu mula berkenalan ketika mereka berdua mendapatkan rawatan terhadap penyakit mereka di hospital sama. Haikal mengalami masalah jantung manakala Raihana pula menghidap barah.

Daripada pertemuan biasa yang pada mulanya berkongsi rasa mengenai penyakit yang mereka hadapi, kemudian timbul rasa cinta.

Mereka berdua amat serasi kerana Haikal dan Raihana yatim piatu.

Selepas tiga bulan terjalin persahabatan, Haikal melamar Raihana untuk menjadi isteri.

Raihana cuba menolak cinta Haikal kerana dia tidak mahu lelaki itu turut menanggung penderitaannya. Pada masa sama, Haikal sangat memerlukan sokongan Raihana untuk menghadapi penyakit yang dideritainya lalu mereka berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Izara (Puteri Balqis).

Ketika mereka keluar bekerja, Izara dijaga pengasuhnya, Mak Dah (Ku Fridah).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");