Sukan Hari Ini

Pescao runding kontrak

Kuala Lumpur: Kontrak pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bersama penaja utama, Petronas untuk perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan masih dalam peringkat rundingan.

Pengurus pasukan Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong berkata Hafizh Syahrin atau digelar Pescao yang bersama pasukan itu sejak tiga tahun lalu menunjukkan peningkatan dan semakin matang mengharungi setiap perlumbaan.

Katanya pelumba berusia 22 tahun itu telah mencapai sasaran awal iaitu menduduki kedudukan kelapan dunia bagi kelas Moto2 dengan pungutan 103 mata selepas 14 perlumbaan musim ini.

“Tentang kontrak, kami masih dalam peringkat rundingan dengan penaja (Petronas), saya bagaimanapun sudah mendaftar nama Hafizh untuk perlumbaan musim depan dengan Dorna (pemegang hak penganjuran perlumbaan MotoGP)

“Saya secara peribadi mahu Hafizh berlumba musim depan kerana kita yakin beliau mampu melakukan sesuatu. Tahun ini, kami sasar beliau di kelompok 10 terbaik dan Hafizh berjaya mencapai sasaran itu.

“Selepas tamat perlumbaan musim ini, Hafizh perlu lebih fokus untuk kedudukan podium, dia perlu tunjukkan kemahuan dalam diri untuk menang,” katanya.

Leong berkata musim depan lebih mencabar untuk Hafizh Syahrin apabila pasukan meletak sasaran podium kepada pelumba itu untuk beberapa perlumbaan.

“Kebanyakan pelumba, setelah semusim atau dua tahun beraksi di MotoGP dan tiada keputusan yang bagus, mereka akan cepat mengalah tapi berbeza dengan Hafizh, beliau sentiasa belajar untuk lebih matang dan tegas dalam memberikan maklumat kepada pasukan,” katanya.

Pada perlumbaan di Litar Qatar, awal musim ini, Hafizh hampir meraih kedudukan podium apabila berada di tempat keempat sebelum mencatat kedudukan sama beraksi di litar di Litar Catalunya, Sepanyol dan Silverstone, United Kingdom.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");