Berita Hari Ini

Pos Malaysia Lancar Setem Definitif Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem “Siri Definitif Antarabangsa” pada 1 Oktober ini di Ibu Pejabat Pos Besar di sini sempena Minggu Setem 2016.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata, bagi peminat dan pengumpul setem di negeri lain, siri setem itu akan dijual secara berperingkat iaitu di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 3 Oktober.

Jelasnya, siri khas itu yang mempunyai perkataan “Antarabangsa” akan dijual di seluruh negara pada 4 Oktober dan boleh digunakan bagi urusan penghantaran surat ke luar negara.

“Siri ini menampilkan lapan denominasi setem melibatkan jumlah 650,000 keping terdiri daripada setem Perayaan dengan nilai 10 sen, Buah-Buahan Tempatan (20 sen), Hidupan Liar (50 sen), Perpaduan (RM1), Tempat Ibadat (RM2), Bangsa Kita (RM5), Flora (RM10), dan Kraftangan (RM20).

“Keluaran siri setem kali ini mempamerkan Malaysia sebagai wadah yang kaya dengan kepelbagaian budaya, flora dan fauna, kesenian serta kreativiti dan yang paling utama adalah perpaduan bangsa,” katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Bagaimanapun Diyana berkata, pengeluaran setem edisi khas ini adalah terhad dan pelanggan boleh mendapatkannya selagi stok masih ada.

“Penjualan setem tersebut adalah terhad sebanyak 120,000 keping bagi rekaan setem Perayaan, Tempatan, dan Hidupan Liar.

“Setem Perpaduan dan Tempat Ibadat pula dicetak sebanyak 100,000 keping dan 30,000 keping bagi Bangsa Kita, Flora dan Kraftangan,” ujarnya.

Selain itu, Diyana berkata, produk fitaleti lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC), termasuk risalah, berharga 55 sen setiap satu, dan folder dijual pada harga RM 6.35 setiap satu selain set lengkap koleksi setem siri ini dijual pada harga RM433.70 setiap satu.

Beliau menambah, selain daripada mempromosi produk baharu, Pos Malaysia akan mendidik para pengumpul setem serta orang awam melalui koleksi siri setem yang diterbitkan serta yakin setem siri itu akan menjadi satu daripada edisi menarik untuk ditambah dalam koleksi sedia ada mereka.

Dalam pada itu, Pos Malaysia menyarankan pengumpul setem untuk mendaftar menjadi ahli komuniti Akaun Pesanan Tetap (SODA) bagi menikmati pelbagai faedah istimewa.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di www.posonline.com.my, atau datang sendiri ke Pos Malaysia Bahagian Filateli di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, atau menghubungi 03-22672267 untuk sebarang pertanyaan.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");