Berita Hari Ini

Pusat transit remaja yatim piatu

Putrajaya : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan beberapa pusat transit bagi menempatkan anak yatim piatu berusia 18 tahun ke atas di institusi kebajikan terpilih kendaliannya dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya akan mengenal pasti beberapa institusi kebajikan sedia ada termasuk menaik taraf bangunan dan kediaman sedia ada bagi mewujudkan pusat transit itu.

Beliau berkata, banyak negara sudah mewujudkan pusat berkenaan bertujuan memantau perkembangan anak yatim yang berusia 18 tahun ke atas.

“Mengikut akta sedia ada, anak yatim piatu berusia 18 ke atas perlu dipisahkan daripada institusi kebajikan. Justeru, kami merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan mereka terus berada di bawah pemantauan kementerian dan institusi kebajikan.

“Kami juga dapati ada anak yatim yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan tidak mempunyai arah tuju apabila cuti semester. Saya yakin pusat transit itu akan menjadi pusat penempatan sementara buat mereka sehinggalah mereka tamat pengajian dan seterusnya dapat memiliki kediaman sendiri selepas bekerja kelak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Program Aspirasi Gemilang ‘A’ Great Eastern Life Children Care, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Life Datuk Koh Yaw Hui.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, pihaknya melihat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diwujudkan Great Eastern menerusi Program Aspirasi Gemilang ‘A’ Great Eastern Life Children Care banyak membantu anak yatim piatu cemerlang dalam pelajaran.

Menurutnya, pihaknya difahamkan, syarikat insurans berkenaan sudah mengumpulkan RM2.3 juta bagi program berkenaan selain memberi manfaat kepada lebih 180 rumah kebajikan kanak-kanak di negara ini.

“Program berkenaan sudah memasuki tahun ketiga dan ia sudah memberi manfaat kepada ramai anak yatim di negara ini,” katanya.

Program Aspirasi Gemilang ‘A’ Great Eastern Life Children Care mula diperkenalkan pada 2013 yang memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak yatim piatu terutama yang berdepan dengan peperiksaan utama.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");