Berita Hari Ini

Putra Blok dibangun UPM diperluas seluruh negara

Serdang: Hasil inovasi penyelidikan yang dibangunkan Universiti Putra Malaysia (UPM) berdasarkan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) kini akan diperluaskan ke lebih banyak projek pembinaan perumahan mampu milik seluruh negara.

Teknologi yang dikenali sebagai Putra Blok iaitu Sistem Binaan Blok Berongga Kait Panca Tanggung Beban itu sebelum ini sudah digunakan dalam pembinaan sebanyak 28 unit rumah membabitkan mangsa banjir di Dabong, Kuala Krai, Kelantan.

Teknologi yang dibangunkan menerusi penyelidik, Datuk Abang Abdullah Abang Ali dan kumpulannya dari Pusat Penyelidikan Perumahan (HRC), Fakulti Kejuruteraan UPM itu dikomersialkan menerusi jalinan strategik antara universiti itu dengan sebuah syarikat pengeluaran bahan binaan tempatan, Triple A Engineering Sdn Bhd.

Usahasama itu termeterai menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian antara kedua-dua pihak, di sini, semalam diwakili Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Pengarah Urusan Triple A Engineering, Azhar Azwari Annuar.

Aini berkata, universiti berkenaan berhasrat memperluaskan lagi penggunaan teknologi itu dalam skala lebih besar lagi selepas 15 tahun penyelidikan dilakukan.

Beliau berkata, teknologi itu menekankan pengurangan kos pembinaan dan tenaga kerja berbanding kaedah konvensional selain menjimatkan masa apabila pemasangan blok berkenaan dapat dilakukan dalam tempoh singkat.

“Sebelum ini sudah ada rumah yang dibangunkan menggunakan Putra Blok, namun kali ini kita mahu ke skala lebih besar lagi untuk membangunkan rumah.

“Tiga perkara penting mengenai teknologi ini ialah ia mengurangkan kos, tenaga kerja dan menjimatkan masa. Ia tidak perlukan keluli sebelum dibangunkan kerana blok ini akan menguatkan struktur,” katanya.

Abang Abdullah berkata, penggunaan Putra Blok dalam projek di Dabong itu membuktikan sebuah rumah boleh dibina hanya dengan kos RM35,000 saja.

Katanya, pemasangan blok terbabit boleh dilakukan dalam sehari selepas tapak binaan rumah disediakan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");