Membawang Hari Ini

Rakam video muzik di Jepun

Empat tahun bertapak dalam industri seni suara tanah air, Sakura Band kini mampu tersenyum melihat pencapaian mereka.

Namun, band yang dianggotai Mell selaku vokalis, Ali (gitar), Haniff (gitar) dan Akai (bass) ini masih menerima bimbingan senior dan menjadikan 6ixth Sense sebagai mentor.

“Kami masih hijau dalam industri. Sepanjang empat tahun banyak perkara kami belajar dan cuba perbaiki. Terima kasih diucapkan kepada senior yang sering membantu.

“Antara yang menjadi rujukan kami adalah 6ixth Sense. Dalam berkarya, kami akan merujuk dan berbincang dengan mereka bagi mendapatkan hasil memuaskan,” kata Ali.

Celah Mell, perbincangan dengan 6ixth Sense lebih kepada teknik persembahan.

“Selain memberikan beberapa idea dan tip gubahan lagu, mereka juga tidak lokek berkongsi idea teknik persembahan dan lontaran suara.

“Sedikit sebanyak ia membantu saya tampil lebih yakin di atas pentas,” katanya.

Menjelang tahun depan, Sakura bakal ke Jepun untuk menjalani sesi fotografi serta merakamkan beberapa video muzik.

“Kami mahu tampil lebih segar. Sambil bekerja kami dapat bercuti di sana. Mudah-mudahan dapat idea untuk menghasilkan karya baru,” katanya.

Dianggap mengetengahkan muzik pop Jepun, Sakura Band menegaskan mereka tidak fokus genre tertentu dalam berkarya.

“Nama Sakura dipilih secara rawak dan bukanlah bermakna kami memilih untuk membawakan muzik ala pop Jepun semata-mata.

“Setiap anggota kumpulan ada kecenderungan tersendiri dalam muzik. Pendek kata, tiada genre khusus sebaliknya ada pelbagai elemen muzik,” katanya.

Selain Jepun, Sakura Band juga berhasrat menembusi pasaran muzik di China.

“Ramai memilih meluaskan pasaran ke Indonesia dan Amerika Syarikat. Kami terpanggil untuk mencuba nasib di China.

“China ada ramai penduduk dan kami sedang mengkaji muzik yang mampu menambat hati mereka,” katanya.

Anggota Sakura Band kini sedang mendalami bahasa Mandarin bagi memudahkan mereka berkomunikasi dan mencuba nasib di negara itu.

“Bukan sekadar belajar bertutur dalam bahasa Mandarin, kemungkinan besar lagu kami akan dialih bahasa untuk pasaran China,” katanya.

Terbaru, Sakura Band meraih populariti menerusi lagu Polaroid yang kerap diputarkan di radio.

“Alhamdulillah, Polaroid nampaknya berjaya mencuri perhatian pendengar. Mungkin ramai menggemari muzik pop dan lirik ‘catchy’ sebegini.

“Selain itu, lagu ini terpilih menjadi runut bunyi drama bersiri Cinta Roller Coaster yang bakal menghiasi slot Dahlia, TV3 pada November ini,” kata Ali.

Berikutan sambutan menggalakkan terhadap lagu itu, mereka menghasilkan cenderahati seperti kemeja-T dan produk wangian di bawah jenama Polaroid.

“Ini salah satu cara kami mengukuhkan nama dalam industri. Selain dapat menikmati muzik Sakura Band, peminat juga berpeluang menyimpan koleksi barangan eksklusif kami,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");