Sukan Hari Ini

Selangkah lagi untuk Chong Wei

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selangkah lagi untuk menghampiri gelaran Terbuka Jepun selepas menepati ramalan apabila mudah menundukkan Marc Zwiebler pada perlawanan separuh akhir, semalam.

Berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pemain nombor satu dunia itu tenang menundukkan Marc dalam tempoh 42 minit dengan kemenangan 21-14, 21-15, sekali gus mengekalkan rekod bersih menang kesemua perlawanan ke atas wakil Jerman itu dalam 13 pertemuan.

Kini, hanya pemain Denmark, Jan O Jorgensen menjadi satu-satunya penghalang Chong Wei dalam memburu gelaran keenamnya apabila kedua-dua pemain itu bertemu di final, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun itu sudah lima kali menjuarai Terbuka Jepun bermula 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.

Jorgensen mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan pilihan keenam dari Korea, Son Wan Ho, 21-14, 21-19 pada separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei hanya tewas sekali dalam 17 perlawanan dengan Jorgensen, sebelum ini.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mahu Chong Wei lebih bersedia untuk berdepan Jorgensen kerana pemain tersebut juga memiliki banyak pengalaman.

“Untuk final, saya harap Chong Wei dapat lebih fokus lagi. Sudah tentu apabila beraksi di final cabarannya lebih sukar,” katanya.

Mengenai Jorgensen, Hendrawan percaya pemain Denmark itu mampu memberi kesukaran kepada Chong Wei andai tidak fokus.

“Dia seorang pemain yang mempunyai semangat melawan cukup tinggi. Untuk itu, selain perlu fokus pada perlawanan final nanti, saya harap Chong Wei tidak memandang mudah lawannya itu,” katanya.

Sementara itu, impian beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mara ke final tidak kesampaian apabila disingkirkan pilihan pertama, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na dari Korea dengan keputusan 14-21, 18-21.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");