Membawang Hari Ini

Syuhada pertaruh single kedua

Meskipun mula menceburi karier seni pada usia 12 tahun, baru kini bakat nya­nyian Syuhada, 20, mendapat ruang untuk menyerlah.

Mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Suria Records (SRC) untuk tempoh lima tahun sejak tahun lalu, Syuhada muncul dengan dua single.

Kini Syuhada atau Syuhada Md Amin mempertaruhkan single kedua, Bukan Dia ciptaan DJ Fuzz dan lirik Muyu (Lawa Ni Gang).

Katanya, dia bersyukur kerana lagu Bukan Dia yang bergenre pop reggae makin diterima peminat dan berjaya menembusi carta harian dan mingguan di radio.

“Saya memang meletakkan harapan tinggi pada single ini. Selama lapan tahun menanti tanpa jemu berusaha, akhirnya kemunculan saya mula mendapat tempat,” katanya.

Syuhada pernah dinobat­kan juara program realiti Idola Kecil musim pertama siaran di TV9 dan dua tahun lalu mencuba nasib dalam program Mentor Legend 2014 (TV3) sebagai protege Datuk Zainal Abidin.

“Selepas melalui pelbagai dugaan, saya tak mudah mengalah. Ia menjadikan saya lebih kuat dan cekal untuk terus berusaha.

“Apapun, saya sangat berterima kasih kepada pendengar muzik tempatan kerana dapat menerima single Bukan Dia dengan baik.

“Tidak ketinggalan terima kasih juga kepada peminat yang tidak jemu dalam memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Kata Syuhada, Bukan Dia karya unik kerana dicipta berinspirasikan pe­ngalamannya ketika menyertai program D’Academy Asia di Indonesia, tahun lalu. Dia juga terharu apabila kebanyakan komen peminat terhadap lagu itu sangat positif.

“Saya sedar masih belum berada pada tahap selesa. Meskipun percubaan untuk single Bukan Dia boleh dianggap berjaya, saya tetap perlu terus mencuba.

“Kini, saya makin bersedia dan tidak kisah untuk menyanyikan apa saja genre lagu termasuk irama Malaysia atau tradisional.

“Saya juga sangat meminati lagu Irama Malaysia. Jadi, mana tahu peluang untuk single seterusnya pula tapi sekarang tumpuan saya masih terarah kepada promosi single Bukan Dia. Bagi saya, lebih baik memberi fokus satu persatu,” katanya.

Sebelum muncul dengan single Bukan Dia, Syuhada tampil duet bersama I-were untuk single pertama Tanpa Kamu, bergenre Hip Hop.

Berkongsi cabarannya menyanyikan single Bukan Dia secara langsung, Syuhada berkata ia sesuatu yang tidak mudah dilakukan.

“Lagu Bukan Dia memerlukan penghayatan vokal yang lembut berserta gerak badan yang mengikut irama muziknya.

“Terus-terang, saya sangat berhati-hati apabila menyanyikan lagu Bukan Dia secara langsung. Bagi saya, ia sangat mencabar,” katanya.

Syuhada juga baru saja menyiapkan video muzik Bukan Dia berlatarkan lokasi sawah padi di Sekinchan, Selangor.

Mahu jadi guru vokal

Selain menyanyi, Syuhada juga mengembang­kan bakat seninya dalam lakonan melalui drama Idola Kecil The Series dan pengacaraan untuk program Adik Di 9 (TV9).

Kata Syuhada, dia tidak sekadar mahu dikenali sebagai penyanyi berjaya malah ada cita-cita lain. Jauh di sudut hati, dia memiliki impian menjadi guru vokal.

“Saya membuat perancangan suatu hari nanti akan melanjutkan pengajian dalam jurusan vokal. Saya mahu menggenggam segulung ijazah yang mampu melayakkan saya berkongsi ilmu sebagai guru vokal.

“Bagaimanapun, perancangan untuk melanjutkan pengajian itu tidak saya lakukan dalam tempoh terdekat ini. Saya cuma merancang dan tidak tahu bila semuanya akan menjadi kenyataan. Cuma, saya pasti takkan terburu-buru,” katanya.

Apa pun kata Syuhada, sekarang segala fokus ditumpukan untuk memantapkan karier nyanyian lebih dulu. Tambah pula karier nyanyiannya belum stabil dan banyak pengalaman harus ditimba.

Dia berharap akan terus diberi ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakat seni dimiliki.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");