Berita Hari Ini

Teknologi kurang kebergantungan kepada pekerja asing

KUALA SELANGOR – Pemain industri dalam sektor pembinaan dan pertukangan disaran mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata langkah itu dilihat berupaya membantu pihak kontraktor menyiapkan projek dalam tempoh lebih singkat dengan kos minimum.

Beliau berkata penggunaan teknologi terkini dalam proses pembinaan juga dapat meningkatkan kualiti kerja akhir yang dihasilkan pemaju selain mengurangkan risiko berlaku kemalangan di tapak projek.

“Antara teknologi boleh diaplikasikan kontraktor ialah seperti IBS (Sistem Binaan Berindustri) di mana ia berkonsepkan pasang siap dengan komponen-komponen binaan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal dan pemantauan kualiti kerja yang ketat.

“Komponen yang telah siap dihasilkan itu hanya perlu dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang menjadi struktur dengan menggunakan tenaga kerja minimum,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBAM di Taman Alam Kuala Selangor, di sini, semalam.

MBAM ditubuhkan pada 1954 bertujuan menjadi penaung kepada pemain industri pembinaan dan sektor berkaitan, kini mempunyai kira-kira 12,000 anggota daripada lebih 900 syarikat kontraktor, pembekal barangan pembinaan dan pemborong dari seluruh negara.

Chek Lee berkata, persatuan itu kini giat mengadakan kursus kepada anggotanya berkaitan aspek pengurusan keselamatan di tempat kerja serta pengendalian perniagaan yang lebih baik.

“Ia merupakan antara perkara yang sering kita tekankan kepada majikan kerana persekitaran pekerjaan dalam bidang ini sentiasa berisiko tinggi selain memberi pemahaman terhadap industri dengan lebih mendalam bagi membantu mereka menghadapi saingan dan ketidaktentuan harga barangan binaan di pasaran,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti CSR itu, Chek Lee berkata, ia merupakan sebahagian acara tahunan persatuan dalam merapatkan ukhuwah anggotanya dan pada masa sama memupuk semangat cintakan alam sekitar.

Katanya, sebanyak 350 anak pokok bakau tajaan syarikat pembinaan Ikhmas Jaya Sdn Bhd dan beberapa pemain industri lain ditanam di sekitar kawasan Taman Alam Kuala Selangor oleh 150 anggota MBAM yang menyertai program terbabit.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");