Sukan Hari Ini

Teruja jadi mentor

Chaska, AS: Rory McIlroy teruja dengan peranannya sebagai pemimpin dalam skuad Piala Ryder Eropah ketika enam rookie yang tidak sabar mahu belajar menyertai barisan yang berusaha mengalahkan Amerika Syarikat kali keempat berturut-turut.

“Saya pastinya lebih selesa dengan peranan itu,” kata McIlroy semalam. “Saya sukakan peranan itu. Saya faham ia satu tanggungjawab besar, tapi saya berasa kini sedia untuk memikul beban itu dan harapnya menjadi pemain contoh.”

Pemain nombor tiga dunia dari Ireland Utara itu hadir selepas kejayaan pada Kejohanan Jelajah PGA AS yang juga membantunya mengaut AS$10 juta (RM41.3 juta) sebagai bonus playoff, mengatasi pemain terbaik Piala Ryder AS Dustin Johnson, juara Terbuka AS dan pemain nombor dua dunia.

McIlroy berkata, dia berasa lebih selesa menjadi contoh teladan pada usia muda dan dia melakukannya dengan mengatasi Ryan Moore sebelum menang dalam penentuan playoff empat lubang.

“Untuk melihat Rory membuktikan semangat juangnya satu perkara mengagumkan,” kata kapten Eropah, Darren Clarke mengenai rakan senegaranya. “Ia satu perkara menyeronokkan untuk kami tontoni.”

McIlroy akhirnya sedar dia perlu membantu selepas enggan melakukannya pada 2012 apabila Eropah melakukan kebangkitan menakjubkan pada hari terakhir untuk menjuarai Piala Ryder.

“Pada 2012 saya tampil pada Piala Ryder sebagai pemain nombor satu dunia. Saya baru saja memenangi kejuaraan utama kedua. Saya bermain dengan amat bagus,” katanya.

“Tapi saya masih belum berasa layak menjadi pemimpin dalam pasukan itu. Kami mempunyai ramai pemain lebih berpengalaman dan lebih tua berbanding saya, jadi saya masih tidak berasa berhak dengan peranan itu.”

Kini dia berharap mengemudi Eropah melakar kemenangan ketujuh dalam lapan percubaan ke atas Amerika dan mengekalkan trofi yang belum pernah dilepaskannya.

“Saya yakin dengan permainan saya dan berasa bermain dengan amat bagus. Piala Ryder keempat. Tidak pernah mengalami kekalahan sebelum ini jadi itulah sasarannya minggu ini iaitu untuk membawa pulang trofi.”

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");