Sukan Hari Ini

Tiada masalah pemain lapor diri awal

Kuala Lumpur: Tan Cheng Hoe berpendapat beliau dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mempunyai halangan melepaskan pemain mereka menyertai latihan pusat skuad kebangsaan lebih awal.

Beliau yang pernah menjadi penolong jurulatih Harimau Malaysia memahami situasi dihadapi pengendali Datuk Ong Kim Swee dalam mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFF pada November ini.

“Bagi Kedah, kami tidak ada masalah untuk membenarkan pemain melaporkan diri awal bersama skuad kebangsaan jika tidak terikat dengan mana-mana perlawanan.

“Pemain memerlukan sedikit masa untuk membentuk kecergasan, persefahaman dan pemahaman taktikal bersama skuad kebangsaan.

“Memang ikut peraturan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) pemain perlu melaporkan diri empat hari sebelum perlawanan tapi kita boleh guna budi bicara untuk pemain datang awal berlatih. Apapun terpulang kepada pihak pengurusan pasukan masing-masing,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini melaporkan tiga pemain Zaquan Adha Abd Radzak, Darren Lok dan Irfan Fazail hanya sempat berlatih sehari bersama skuad kebangsaan selepas dipanggil pulang pihak pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kelmarin.

Menurut Kim Swee, beliau menerima surat rasmi mengenai keputusan itu semalam atas alasan kelab berkenaan ingin mematuhi peraturan FIFA dan hanya akan melepaskan pemain Isnin ini, iaitu empat hari sebelum perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura di Stadium Nasional negara itu pada 7 November ini.

KFA membenarkan tiga pemain Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Ghazali melaporkan diri awal Ahad ini selepas selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

“Bukan hanya skuad kebangsaan malah tiga pemain utama kami akan bersama skuad bawah 22 tahun, Ahad ini. Sebagai jurulatih memang agak bimbang jika berlaku kecederaan kerana kami akan mengharungi separuh akhir kedua Piala Malaysia.

“Tapi dalam konteks ini, kecederaan boleh berlaku di mana-mana saja dan kita kena fikir positif, pemain akan ada keyakinan dan pemahaman taktikal menjadi lebih baik jika bermain di peringkat antarabangsa,” jelas Cheng Hoe.

Sementara itu bagi Setiausaha Agung FELDA United Zulkarnain Mohamad, tiada isu bagi mereka untuk melepaskan awal dua pemain Ahmad Fakri Saarani dan Hadin Azman yang kini sedang berlatih bersama skuad kebangsaan.

“Lagi awal mereka berlatih lagi bagus kerana sekarang pasukan FELDA sedang bercuti. Lagi ramai yang dipanggil ke skuad kebangsaan lagi bagus kerana ini matlamat kami untuk membantu skuad kebangsaan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");