Perak Hari Ini

Tourism Malaysia Perak Lancar ‘Pakej Perak CC1M Dekat Je’

JOHOR BAHRU : Bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017, Tourism Malaysia Perak telah melancarkan Pakej ‘Perak Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Dekat Je’.

Pakej itu dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sempena Program ‘Perak Visit Year 2017’ Road To Perak, di sini, hari ini.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Keong, Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Mohd Kamil Shafie, Pengarah Tourism Malaysia Perak, Ibrahim Seddiqi Talib, Pengarah Tourism Malaysia Johor, Edzuar Zar Ayob Azari dan Pengarah Tourism Malaysia Singapura, Ishak Ismail.

peraktoday5-1

Nolee Ashilin dalam sidang medianya berkata, Pakej CC1M Dekat Je yang dilancarkan ini merupakan edisi khas bagi mewujudkan pakej-pakej kompetitif untuk dipromosikan kepada ejen pelancongan dan dipasarkan kepada pelancong domestik.

Katanya, ia mengandungi 65 pakej terpilih daripada pelbagai kategori melibatkan penyertaan daripada lapan operator produk pelancongan, lima agensi pelancongan dan lima buah inap desa (homestay) bagi menerbitkan risalah tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan agar kerjasama strategik dapat diadakan antara kedua-dua negeri bagi menggalakkan lagi kehadiran pelancong.

peraktoday7

“Hari ini kita ketahui Perak dan Johor menerima kunjungan pelancong domestik antara yang tertinggi di negara ini dan kita harapkan ianya dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua negeri dari segi penerimaan pelancong-pelancong domestik.

“Kita harapkan satu kerjasama strategik dapat dijalinkan untuk membawa pelancong-pelancong datang ke kedua-dua negeri memandangkan kita juga mempunyai banyak persamaan seperti taman tema dan sebagainya,”katanya.

Nolee turut mengharapkan agar kerjasama strategik ini dapat diteruskan di masa akan datang kerana ianya akan memanfaatkan bukan sahaja kepada negeri Perak dan Johor, tetapi bagi mencapai visi negara untuk mencapai bilangan pelancong yang telah ditetapkan menjelang tahun 2020.

peraktoday6-1

Dalam pada itu, Nolee turut berkata, pengiktirafan Lonely Planet kepada Ipoh bahawa bandaraya itu antara yang perlu dikunjungi di Asia turut membantu mempromosikan Perak secara amnya dengan lebih agresif.

“Ianya pengiktirafan yang cukup besar dan boleh dijual bukan sahaja kepada pelancong-pelancong domestik tetapi pelancong antarabangsa.

“Dengan tersenarainya Ipoh sebagai tempat keenam yang wajib dilawati di Asia, ini bermaksud kita mendapat peluang di pasaran antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,”katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO dan kebangsaan bagi beberapa produk pelancongan di negeri Perak.

“Di dalam perancangan, kami sudahpun dalam penyediaan dokumen untuk memasukkan Royal Belum dan Menara Condong Teluk Intan sebagai Tapak Warisan Unesco.

“Bagi kawasan Geopark Lembah Kinta pula, kita telah membuat permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan,”jelasnya.

Sementara itu, Tee Siew Keong berkata, kehadiran pelancong domestik yang menunjukkan peningkatan sejak tahun 2013 merupakan satu tanda yang baik.

peraktoday2-1

“Ini satu trend yang bagus dan ianya satu prestasi yang positif di dalam industri pelancongan dan kerajaan negeri amat prihatin dengan perkara ini kerana ianya membantu ekonomi negeri,”katanya.

Turut diadakan ialah program ‘business-matching’ disertai oleh lebih 100 operator pelancongan dan hotel dari Perak,Johor, Singapura dan Batam,Indonesia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");