Membawang Hari Ini

Usah Ditanya daripada Aisya

Pementasan teater Mencari Sumaiyah pertengahan Ogos lalu di Istana Budaya membuktikan kemampuan vokal pelakon berbakat besar, Aisya Hasnaa.

Hakikatnya, pemilih suara lunak itu memulakan langkah dalam industri sebagai penyanyi sebelum terjun ke bidang lakonan.

“Saya menyanyi sejak berusia 12 tahun dan bergerak serius pada 2009. Saya pernah hasilkan album mini memuatkan empat lagu,” katanya.

Terbaru, Aisya yang bernaung di bawah Octave Records muncul dengan single terbaru berjudul Usah Ditanya ciptaan kumpulan Viral.

“Usah Ditanya bergenre pop R&B. Saya diberikan beberapa lagu dan selepas berbincang dengan pengurusan dan penerbit muzik, DJ Fuzz, kami sepakat memilih Usah Ditanya sebagai single baru,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan bernaung di bawah pengurusan Octave Records, Aisya mengakui selesa kerana sudah lama mengenali DJ Fuzz.

“Tiada sebab untuk saya tolak tawaran DJ Fuzz. Kami sudah lama kenal dan saya tahu cara kerjanya,” kata Aisya.

Dia bersyukur pengurusannya memahami komitmennya sebagai penyanyi dan pelakon malah memberikan kerjasama dalam segala hal.

“Tidak semua syarikat pengurusan mampu bertolak ansur dengan komitmen artis. Saya bertuah kerana Octave Records memahami kerja dan minat saya.

“Seperkara lagi, saya bersetuju menjadi artis pengurusan ini kerana yakin dengan kebolehan Fuzz menghasilkan dan memasarkan setiap karya ciptaannya,” katanya.

Beralih perkembangan terkini karier lakonan, Aisya bakal terbabit dengan penggambaran telefilem Saling sempena memperingati Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Selain saya, drama ini turut dijayakan dua pelakon hebat iaitu Khir Rahman dan Namron. Saya sangat mengagumi bakat mereka dan berbesar hati apabila terpilih menjayakan telefilem ini,” katanya.

Bintang berusia 26 tahun ini meluahkan keterujaannya setiap kali diajak berbual mengenai dunia teater.

“Teater satu lagi cabang seni yang cukup saya minati. Teater Mencari Sumaiyah khabarnya bakal dipentaskan semula dan masih dalam proses perbincangan,” katanya.

Ditanya sama ada jiwanya lebih kepada pementasan teater atau beraksi di kaca televisyen, Aisya berkata kedua-duanya memberikan kepuasan kepadanya.

“Kedua-duanya sama penting bagi saya. Jika beraksi di pentas teater, saya akan puas apabila melihat penonton dan dapat rasa tenaga daripada mereka.

“Berlakon untuk televisyen pula kepuasannya berbeza apabila mendapat maklum balas daripada penonton malah saya dapat bermain dengan kamera,” katanya yang berharap lagu Usah Ditanya dapat menempatkan dirinya di hati pencinta muzik tempatan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");