Membawang Hari Ini

Usaha popularkan Sayangku

Sejak ditubuhkan pada 1990-an, kumpulan Data terus bertahan sehingga ke hari ini.

Keutuhan ukhuwah anggota kumpulan bukan saja kerana mereka rakan sekampung di Sungai Gelugor, Pulau Pinang, tetapi juga menuntut ilmu di sekolah yang sama.

Hubungan mereka sudah seperti adik-beradik. Data yang bermaksud ‘Dari Utara’ pada awalnya dianggotai enam orang tetapi yang kekal hanya empat saja iaitu Rashidi Rashid (vokalis), Mohd Noor Abdul Kadir (dram), Shahril Kuzairi (bass) dan Mohd Hanif (gitar).

Menurut Rashidi atau lebih mesra dipanggil Shidi ketika menceritakan perkembangan terbaru kumpulan itu, Data masih ada cuma masing-masing ada komitmen sendiri.

“Saya terus aktif menyanyi tetapi Mohd Noor, Shahril dan Hanif ada pekerjaan lain, namun ia bukanlah halangan untuk kami berkumpul sebagai satu kumpulan sekiranya ada undangan persembahan untuk Data. Kami semua menetap di Sungai Gelugor dan saya paling kerap ke Kuala Lumpur kerana periuk nasi bergantung sepenuhnya kepada nyanyian dan sering membuat persembahan solo.

“Tiada masalah dengan anggota lain termasuk soal bayaran. Jika kami tampil secara berkumpulan, bayaran akan dibahagi empat tetapi kalau menyanyi solo, bayaran untuk saya seorang. Tidak timbul sebarang rungutan kerana hubungan yang sekian lama terjalin itu membuatkan kami saling memahami.

“Zaman muda dulu adalah juga berselisih pendapat tetapi selepas puluhan tahun bersama tiada apa lagi yang nak digaduhkan,” katanya.

Berbanding tiga anggota lagi, Shidi paling lama tinggal di ibu kota sehingga tahun 2008 dan selepas itu kembali menetap di Sungai Gelugor apabila bapanya jatuh sakit.

“Saya balik ke Sungai Gelugor untuk menjaga ayah yang menghidap kanser dan dia meninggal dunia dalam dakapan saya. Sekarang tinggal emak seorang di rumah pusaka itu. Dua adik saya tinggal berhampiran rumah emak jadi apabila saya terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur mencari rezeki, taklah rasa bimbang sangat,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Beralih kepada kerjaya seni Data, zaman kegemilangan mereka sangat popular dengan lagu Permaisuri, Nyanyian Rindu Buat Kekasih dan Mengulit Kenangan.

Kini mereka tampil dengan single terbaru berjudul Sayangku ciptaan Harry daripada kumpulan Khalifah.

“Data sudah kenal Harry sejak 2012 dan kami selesa dengan lagu ciptaannya. Semua lagu nyanyian kami tak boleh ‘lari’ daripada melodi kemelayuan. Walaupun kami sedang mempromosikan lagu baru tetapi dalam mana-mana persembahan, peminat masih mahu saya menyanyikan lagu lama.

“Sebelum ini Data juga pernah menyanyikan lagu ciptaan Eddie Hamid, Ly Baiduri dan Saari Amri. Bersama dengan syarikat penerbitan MVM kami akan keluarkan single satu persatu dan selepas ada empat atau lima lagu, barulah akan kami kumpulkan dalam album mini.

“Saya sangat bersyukur kerana pada usia sekarang masih ada syarikat rakaman percayakan kami dan sanggup melabur wang untuk Data,” katanya.

Memandangkan lagu lama masih menjadi pujaan peminat, Shidi akan berusaha mempopularkan Sayangku sehingga lagu itu dapat diterima pendengar. Sayangku sudah dua bulan dilancarkan dan dilayari 1.5 juta orang di YouTube.

Lagu itu juga berada dalam carta 40 Era dan carta Superhit Era. Tidak lama lagi mereka akan lancarkan single kedua iaitu Warkah Rahsia.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");