Berita Hari Ini

Wajibkan peranti pengesan pesawat, kongsi maklumat zon konflik

KUALA LUMPUR: Penggunaan peranti pengesan pesawat dan perkongsian maklumat mengenai laluan penerbangan di zon konflik adalah mandatori, selaras peningkatan semasa kadar trafik udara global.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Malaysia bersuara aktif dalam Pasukan Khas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mewajibkan garis panduan berhubung kedua-dua isu berkenaan.

Katanya, pelaksanaan itu penting bagi memastikan tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh ketika melintasi zon konflik di timur Ukraine tidak berulang, sekali gus meningkatkan keselamatan penumpang dalam industri penerbangan.

“Kita perlu sentiasa diingatkan mengenai kepentingan merangka dasar dan prosedur bersesuaian susulan dua tragedi yang tidak pernah disaksikan masyarakat dunia sebelum ini, iaitu MH370 dan MH17.

“Setiap usaha yang direncana dan dirangka di Montreal ketika ini berupaya memastikan masyarakat di seluruh dunia tidak perlu melalui tragedi seumpama ini lagi pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung ICAO ke-39 di Montreal, Kanada, semalam.

Kenyataannya dikeluarkan di sini, hari ini.

Sepanjang menjadi negara anggota ICAO selama 58 tahun, Tiong Lai berkata, Malaysia mengecapi pelbagai pembangunan mapan menerusi inisiatif dirangka penggiat industri dan kerajaan.

Beliau berkata, kejayaan itu termasuk transformasi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia ke arah badan yang mempunyai kuasa autonomi, selain kemampanan lestari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA).

“Kedua-dua agensi ini adalah pemangkin dan pemacu evolusi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan serantau.

“Ketika ini, Malaysia merencana pelaburan membangunkan Pusat Kawalan Udara baharu, susulan peningkatan aliran trafik mendadak iaitu 86.5 juta penumpang dan berjuta tan kargo udara pada 2015.

“Inisiatif ini sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan trafik di Malaysia,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");