Jenayah

106 PATI ditahan dalam Op Nyah 2

KUALA LUMPUR: Tiga lagi lokasi tumpuan warga asing di ibu negara digempur menerusi Op Nyah 2 Fasa ke-11 oleh Polis Kuala Lumpur, mulai petang semalam.

Operasi membabitkan kawasan sekitar Jalan Petaling, sebuah apartmen di Taman Lee Yan Lian, Jalan Sepadu, Brickfields dan Medan Selera Kuchai Lama, Brickfields.

Dalam operasi bermula jam 5 petang itu, seramai 273 orang warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, sejumlah 106 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita ditangkap atas pelbagai kesalahan.

Tangkapan membabitkan 33 warga Bangladesh, Myanmar (23), Indonesia (20), Nepal (16), Nigeria (lima), Filipina (tiga), India (tiga), Pakistan (dua) dan seorang warga Vietnam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata operasi dilakukan susulan aduan orang awam mengenai kebanjiran PATI yang bekerja dan mengusahakan perniagaan di situ.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga Nigeria berniaga pakaian di Jalan Sepadu, Brickfields kerana memiliki dua ketul ganja mampat seberat 13.5 gram.

“Siasatan ke atas suspek yang berusia 39 tahun ini akan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amar Singh berkata, semua PATI ditahan dan tindakan akan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Akta Pemerdagangan Orang 2012 dan akta berkaitan.

Op Nyah 2 yang berakhir pada jam 5 pagi tadi dikendalikan 15 pegawai bersama 213 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, empat pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta dua pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");