Membawang Hari Ini

3 Juara temukan Ajai, Dayang

Kerjasama di antara penyanyi Dayang Nurfaizah dan komposer prolifik, Ajai bukanlah baru. Pada 2000, mereka pernah menggegarkan industri muzik tempatan dengan Seandainya Masih Ada Cinta yang menjadi lagu malar segar dan popular hingga hari ini.

Ditemukan sekali lagi oleh TV3 bagi menjayakan program 3 Juara, Ajai menghasilkan lagu tema program realiti terbaru itu dan Dayang yang memiliki nada suara sempurna, mendendangkannya membuatkan peminat terimbau sejarah yang pernah mereka cipta.

Ditemui ketika sesi rakaman klip video khas 3 Juara baru-baru ini, Dayang akui senang apabila dipelawa mendendangkan lagu tema untuk program yang bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 itu.

Tambah pula dia dan Ajai hampir 16 tahun tidak bekerjasama sehinggalah baru-baru ini Ajai terbabit dalam pembikinan album terbarunya.

Penyanyi asal Kuching, Sarawak itu akui agak gementar apabila kembali bekerja dengan Ajai walaupun sudah bertahun bergelar penyanyi dan penghibur.

Katanya, ramai tidak tahu sewaktu kerja rakaman lagu Seandainya Masih Ada Cinta dulu dia langsung tidak bertemu dengan Ajai.

“Jadi sebenarnya saya tidak pernah bekerja secara terus bersama Ajai dan lagu tema 3 Juara ini benar-benar menemukan kami bekerjasama dalam studio.

“Sudah tentu saya bimbang waktu itu. Sebagai komposer, tentu harapan Ajai begitu tinggi untuk saya mendendangkan lagu terbabit,” katanya.

Dayang juga akui lagu 3 Juara sangat unik kerana menampilkan tiga elemen iaitu balada, rock dan irama Malaysia dalam susunan muziknya.

“Ajai memang antara komposer yang bijak dan kreatif. Saya dapat rasakan karya ini sangat bagus hingga saya risau sekiranya tidak dapat memenuhi apa yang dimahukan Ajai,” katanya.

Dayang lega kerana sebaik kerja rakaman dijalankan di studio, kebimbangan itu hilang kerana Ajai sangat mudah memberi kerjasama. Malah mereka berdua juga banyak berbincang.

“Sepanjang bekerja dengan Ajai, dia sangat tekun dan benar-benar mahu memastikan karya dihasilkan sangat bagus. Ajai tahu arah tuju karya dihasilkan dan itu membuatkan kerja menjadi mudah kerana saya sangat faham apa yang dia mahukan,” katanya.

Mengenai pembabitannya menyanyikan lagu tema program yang mungkin dianggap sesetengah pihak merendahkan penanda aras yang diciptanya, pemenang anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-29 dan ke-30 melihatnya pada sudut berbeza.

Katanya, sebagai penyanyi dan penghibur dia tidak melihat ada masalah untuknya mendendangkan lagu tema program 3 Juara ini.

“Pada saya, banyak kelebihan yang diperoleh apabila terbabit menyanyikan lagu tema program ini. Apa yang pasti, peminat dapat mendengar suara saya setiap minggu.

“Secara tidak langsung ia akan mengukuhkan lagi jenama saya sebagai penyanyi kerana orang akan sentiasa mendengar lagu tema itu.

“Seperkara lagi, kalau dengar betul-betul lagu 3 Juara sangat berbeza kerana nilai komersialnya sangat tinggi. Ia sangat berbeza dengan lagu tema yang pernah dihasilkan sebelum ini. Perbezaan dan kelainan itu yang saya cari dalam berkarya,” katanya.

Lagu tema irama komersial

Ajai atau Mohd Faizal Maas salah seorang penerbit untuk 3 Juara bersama Edrie Hashim dan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Masing-masing mewakili genre balada, rock dan irama Malaysia untuk memilih lagu peserta 3 Juara bagi kategori masing-masing.

Ajai juga diberi tanggungjawab menghasilkan lagu dan lirik untuk tema program itu. Katanya, dia memilih Dayang untuk mendendangkan lagu itu kerana melihat kelebihan dimilikinya.

“Untuk lagu tema ini, kalau kita dengar nota atau nadanya banyak tinggi dan rendah. Kebanyakan penyanyi terutama perempuan memiliki kelebihan dari sudut suara bernada tinggi tetapi tidak bernada rendah.

“Berbeza dengan Dayang, dia mampu menyanyikan nada tinggi dan rendah dengan baik. Disebabkan itu, saya memerlukan Dayang untuk menyanyikannya,” katanya.

Dalam menghasilkan lagu 3 Juara, Ajai akui cuba menjadikan karya itu besar lebih-lebih lagi dalam sususan muziknya yang mempunyai ketiga-tiga elemen mewakili konsep program.

“Apabila dipertanggungjawabkan oleh TV3 untuk menghasilkan lagu tema 3 Juara, saya sudah terfikir untuk membentuk iramanya agar kedengaran komersial.

“Mengambil contoh lagu Standing In The Eyes nyanyian Ella. Kalau hendak diikutkan, ia menjadi lagu tema untuk sambutan Sukan Komanwel tetapi komersialnya lagu itu ia bertahan dan popular hingga ke hari ini.

“Lagu itu juga membuktikan lagu tema juga kalau dihasilkan dengan baik boleh menjadi lagu komersial dan digemari umum,” katanya.

Kata Ajai, lagu tema 3 Juara ini juga dapat mengetengahkan Dayang dalam sudut berbeza dalam nyanyian, apatah lagi sekarang ini peminat mengenalinya sebagai ratu lagu balada.

Sementara itu pengarah klip video 3 Juara, Shahrul Osman menjelaskan, mereka cuba mengembalikan kegemilangan Anugerah Juara Lagu yang dulu di mana mereka memperkenalkan kategori balada rock dan irama Malaysia sebagai konsep.

Katanya, selain cuba menampilkan tiga konsep muzik dalam visual mereka juga bermain dengan angka tiga. Malah untuk merealisasikan klip video ini tiga orang bertanggunjawab melaksanakannya iaitu dia selaku pengarah, Faizal Mahmud menzahirkan reka bentuk sementara Dhiya Izwin sebagai ‘copywriter’.

“Kebetulan tiga penerbit terbabit untuk menghasilkan montaj klip video ini. Bagi menunjukkan ketiga-tiga elemen muzik diketengahkan, saya cuba bermain dengan lampu. Contohnya saya menggunakan lampu biasa agar suasana nampak seperti biasa. Ini menimbulkan rasa Melayu,” katanya.

Apabila membabitkan Edrie, dia cuba menggunakan elemen ganas (rock) dengan perhiasan di keliling seperti dalam bengkel.

“Balada pula kami mahukan pandangan visual lebih kemas di mana Dayang dan Ajai beraksi dengan hanya bertemankan piano. Dalam menzahirkan suasana balada itu, gerakan visual dan kamera lebih perlahan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");