Jenayah

33 kes curi kabel telefon selesai

ALOR SETAR: Dua bekas pekerja subkontraktor Telekom Malaysia (TM) disyaki terlibat dalam 33 kes kecurian kabel telefon membabitkan kerugian RM300,000, ditahan polis dalam Ops Kotak TM di sebuah kediaman di Taman Nuri pada 17 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan selepas menerima kira-kira 13 laporan polis berkaitan kecurian kabel telefon sejak Ogos lalu.

“Melalui operasi itu, kita menahan dua bekas pekerja subkontraktor TM yang ditamatkan perkhidmatan menyelenggarakan peralatan komunikasi TM sejak 2012.

“Bagaimanapun, pihak polis mendapati kes kecurian kabel telefon itu adalah bermotifkan keuntungan semata-mata dan bukan berunsur sabotaj,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, semalam.

Menurut Rozi, kedua-dua suspek didapati bijak mengaburi mata polis dan kakitangan TM, dengan memakai kemeja T berkolar memiliki lambang TM untuk mencuri kabel telefon itu.

Katanya, mereka mencuri kabel itu tanpa mengira masa dan tempat, menggunakan pengetahuan dimiliki mengenai lokasi bersesuaian dan cara pemasangan kabel.

Tambahnya, mereka turut menyasarkan kabinet ataupun dikenali ibu sawat telefon, yang dipercayai mengandungi tembaga, sebelum memproses dan membakar untuk dijual antara RM20 bagi setiap kilogram.

“Antara barang dirampas ialah tembaga diproses dari kabel telefon, alat pembakar kabel, kemeja T berkolar bertulisan kontraktor dan TM serta peralatan diguna untuk mencuri kabel,” katanya.

Rozi berkata, kejayaan menumpaskan sindiket curi kabel telefon yang aktif sejak tiga bulan lalu itu adalah hasil kerjasama erat antara TM dan polis bagi membanteras kes daripada berulang.

Turut ditahan, dua pengusaha dipercayai rakan subahat mereka yang bertindak membeli kabel telefon dicuri kedua-dua suspek di sekitar Bandaraya Alor Setar.

Katanya, kedua-dua pengusaha barang lusuh berusia sekitar 47 dan 60 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki membeli barang curi.

“Pemilik kedai lusuh diingatkan mematuhi prosedur seperti membuat semakan barang akan dibeli dan tidak membeli barang curi bagi mengelakkan lesen ditarik balik.

“Kesemua mereka ditahan reman sehingga 27 Oktober dan disiasat di bawah Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan kerana khianat, yang boleh dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");