Isu Panas

Anwar gagal mohon prosiding qazaf terhadap Shafee

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan prosiding qazaf terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar menolak permohonan itu berdasarkan Seksyen 76 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 selepas mahkamah mendapati ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding membabitkan kesalahan liwat.

Mohamed Fouzi berkata, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 antara lain tidak meletakkan kesalahan liwat sebagai sama dengan perbuatan zina.

Katanya, Anwar dalam aduannya tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang dilanggar oleh Muhammad Shafee, sebaliknya menyatakan ia suatu jenayah syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 sahaja.

“Walau bagaimanapun, pengadu mendakwa Orang Yang Diadu melakukan kesalahan qazaf terhadapnya dengan menuduh pengadu melakukan perbuatan liwat terhadap Saiful Bukhari Azlan, semasa menyampaikan syarahannya di Akademi Kapten Hussin, Kelana Jaya, Selangor.

“Namun, perkataan zina ditafsirkan sebagai persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah sahaja, tanpa memasukkan perbuatan liwat dalamnya.

“Persoalannya, adakah tuduhan melakukan perbuatan liwat itu juga boleh ditafsirkan sebagai zina berdasarkan pandangan ulama?” katanya.

Mohamed Fouzi berkata, walaupun kebanyakan ulama menyatakan perbuatan liwat tergolong dalam kesalahan zina, secara umum, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Katanya, ketiadaan perbuatan liwat dimasukkan ke dalam tafsiran zina disebabkan oleh pemilihan satu pendapat antara pandangan berkenaan.

“Tafsiran zina yang ada dalam peruntukan enakmen berkenaan adalah berdasarkan kepada pandangan Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa melakukan perbuatan liwat adalah bukan qazaf bahkan ia adalah kesalahan takzir (satu hukum daripada hukum Allah), dengan alasan kedua-duanya adalah perbuatan yang berbeza,” katanya.

Pada masa sama, katanya, penggubal atau badan perundangan negeri (Dewan Undangan Negeri) sememangnya tidak melakukan kesilapan dalam mentafsirkan perbuatan zina kerana mereka memilih untuk menerimapakai pandangan yang dirasakan bersesuaian dengan keadaan semasa masyarakat di negara ini walaupun ia bukan berdasarkan pandangan Mazhab Syafie.

Mohamed Fouzi berkata, mahkamah itu juga tidak bersetuju dengan pendapat bahawa tafsiran zina dalam enakmen itu tidak menepati hukum syarak kerana ia boleh juga mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");