Sukan Hari Ini

‘Bermula dengan riadah keluarga’

Port Dickson: Sepasang suami isteri digambarkan sebagai pasangan sehati sejiwa apabila mempunyai minat sama terhadap aktiviti berbasikal.

Haslinda Abu Hanipah, 34, dan suami Mohammad Zaki Buang, 44, dari Putrajaya kerap menyertai acara sukan berbasikal di seluruh negara.

Haslinda berkata, dia dan suami terbabit dalam aktiviti berbasikal sejak 2013 dengan awalnya sekadar untuk beriadah bersama keluarga dan rakan sebelum menyertai pasukan Pinky Women Rider.

“Sebelum ini hanya suami yang terbabit dalam aktiviti berkenaan dan saya mengikutinya selepas diajak suami. Apabila sering mengikuti suami beriadah bersama rakannya yang turut membawa isteri mereka, timbul minat untuk serius dalam aktiviti itu.

“Kami sentiasa berkayuh pada waktu malam selepas suami pulang daripada bekerja sebagai pengurus syarikat pembinaan. Kadang-kala anak lelaki sulung turut serta kerana dia juga menunjukkan minat sama,” kata ibu kepada empat anak berusia antara setahun hingga 13 tahun itu.

Dia dan suami menjadikan kejohanan HMMTB sebagai acara wajib dan sudah bersedia untuk memberi cabaran seterusnya pada sirkit 3 di Johor, Disember ini.

Walaupun tidak pernah mendapat tempat terbaik dalam perlumbaan, dia dan suami berpuas hati kerana dapat menghabiskan kayuhan sehingga ke garisan penamat.

Haslinda berkata dia berbangga kerana suaminya sentiasa mengekori rapat selain memberi semangat agar tidak berputus asa ketika melalui trek sukar.

Sementara itu, Mohammad Zaki berkata, dia dan isteri tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana sudah menjangkakan peluang sukar kerana HMMTB disertai ramai pelumba handalan.

“Cabaran di Lukut ini lebih mencabar berbanding di Kulim kerana banyak trek berbukit dan perjalanan yang panjang,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");