Berita Hari Ini

‘Biar Felcra majukan tanah’

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meminta orang ramai yang memiliki tanah terbiar supaya bekerjasama dengan Felcra untuk memajukan tanah tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, orang ramai mempunyai pilihan sama ada untuk memajukan sendiri tanah berkenaan atau menyerahkan kepada Felcra untuk dimajukan.

“Kita nak minta orang ramai yang mempunyai tanah terbiar supaya serahkan tanah itu kepada Felcra untuk dimajukan. Serah maksudnya bukan beri tanah tersebut kepada Felcra dan menjadi milik Felcra, tetapi tanah tersebut Felcra majukan dan usahakan untuk tanam apa-apa.

“Kemudian, mereka (pemilik tanah) akan terima dividen dan bonus setiap tahun hasil daripada tanaman yang diusahakan. Mereka yang berminat boleh merujuk kepada pejabat Felcra yang berdekatan dengan kawasan mereka,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan 50 tahun Felcra Berhad Peringkat Wilayah Timur di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.

Ahmad Jazlan berkata sehingga kini, sejak penubuhan Felcra 50 tahun yang lalu, Felcra telah berjaya membangunkan 260,000 hektar tanah di seluruh negara.

“Telah banyak hasil usaha yang telah Felcra jalankan, bermula dari tanah dan hutan yang terbiar, tetapi kini semuanya telah menjadi ladang dan hasilnya dapat kita nikmati setiap tahun yang mana kita usahakan tanaman sawit, getah dan padi.

“Daripada 260,000 hektar ini, sebanyak 30,000 hektar dibangunkan sendiri oleh Felcra manakala selebihnya dimajukan oleh peserta yang mana sehingga kini kita mempunyai seramai 110,420 orang peserta,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata, peserta Felcra yang ingin menjual tanah mereka juga digalakkan untuk menjual tanah tersebut kepada Felcra.

“Kalau ada peserta yang nak menjual tanah mereka, kalau boleh tawarkan dahulu kepada pihak Felcra dan jangan jual kepada pihak ketiga kerana ia merugikan kerana tanah mereka dah dimajukan sejak dahulu menerusi Felcra dan banyak yang telah Felcra habiskan untuk prasarana kawasan tersebut.

“Kita kalau boleh memang tak nak tengok, tanah tersebut dah kita majukan dan usahakan, peserta pun dah dapat hasil tetapi tiba-tiba tanah dijual dan menjadi milik orang lain. Ini amat merugikan dan kita kesal. Sehingga kini, sebanyak 13,000 ekar tanah telah dikenal pasti dijual kepada pihak ketiga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");