Jenayah

Ditahan guna Mykad palsu

PASIR GUDANG – Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas kesalahan memiliki dan menggunakan Mykad palsu dalam dua serbuan yang dijalankan, awal pagi semalam.

Operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Johor itu turut mendapat kerjasama sepasukan polis dari unit Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohamad Yusri Hashim berkata, penahanan itu membabitkan lima lelaki dan dua perempuan dipercayai berasal dari selatan Filipina dan Indonesia.

Menurutnya, mereka yang ditahan menerusi operasi di Flat Taman Rinting, Kampung Masjid dan Flat Taman Masai Utama itu berusia 20 hingga 55 tahun.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati enam daripada mereka menggunakan MyKad palsu, manakala seorang lagi ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain.

“Siasatan juga mendapati ada di antara mereka mengaku membeli MyKad palsu dengan harga RM300 hingga RM1,000 daripada sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri,” katanya di sini, semalam.

Mohamad Yusri berkata, tujuan mereka membeli MyKad palsu itu antara lain bagi mencari pekerjaan di negara ini membabitkan pelbagai sektor.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Operasi melibatkan 80 anggota dan pegawai dari ketiga-tiga jabatan tersebut bermula dari jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penguatkuasaan Imigresen Johor, Abang Matnoor Abang Abd Samad berkata, dalam operasi yang sama pihaknya turut menahan 32 individu kerana tidak memiliki sebarang permit dan dokumen pendaftaran yang sah.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan empat hingga 60 tahun terdiri daripada 18 lelaki, 10 kanak-kanak dan lapan perempuan dipercayai berasal dari negara jiran yang masuk ke negara melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");