Sukan Hari Ini

Faeizah, Sapifie harum nama TLDM

Kuala Lumpur: Gandingan mantap Nurul Faeizah Kasim dan Mohd Sapifie berjaya menjulang pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) C menjuarai saingan MOHE-Mahsuri Boling Padang Antarabangsa di Kompleks Sukan LADA, Langkawi, Kedah semalam.

Pada saingan final itu, pasangan TLDM C itu mengetepikan gandingan Mohd Yusof Haron dan Dayang Lapuan Zalifah yang mewakili Kota Kinabalu Kuala Lumpur (KKL) menerusi kemenangan 11-9 pada aksi final.

Dengan kemenangan itu, Faeizah dan Sapifie menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi manakala beregu KKL pula sekadar membawa pulang wang tunai RM1,500.

Kemenangan bergaya pasukan beruniform itu turut dilengkapkan dengan kejayaan satu lagi pasukannya iaitu TLDM B yang menamatkan kedudukan di tangga ketiga bersama pasukan Institut Pengajian Tinggi Malaysia A (IPTM A) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara itu, dalam kategori plate menyaksikan pasukan MAKSAK D muncul juara diikuti pasukan LADA A di tangga kedua manakala dua lagi pasukan iaitu India D dan Srikandi C berkongsi tempat ketiga.

Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Hazally Jali memuji penganjuran yang disifatkannya amat berjaya dan beliau mahu kejohanan itu diteruskan di masa hadapan.

“KPT komited dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan di peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) serta bersedia untuk bekerjasama dengan agensi berkepentingan bagi melonjakkan potensi atlet dan pembangunan sukan negara seperti sukan boling padang ini.

“Saya harap kerjasama berterusan dapat dilaksanakan terutamanya dengan Persekutuan Boling Padang Malaysia dan Persatuan Boling Padang Kedah serta negeri yang lain dalam merancakkan sukan ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebanyak 95 pasukan mengesahkan penyertaan pada kali ini, termasuk pasukan jemputan dari Singapura, Hong Kong dan India.

Kejohanan kali ini turut mempertandingkan beberapa kategori termasuklah beregu campuran yang membabitkan penyertaan daripada pemain-pemain kelab, wakil negeri, IPT dan sekolah di seluruh negara.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");