Sukan Hari Ini

FAM Berkuasa Tentukan Tindakan Tatatertib Dalam Liga Malaysia – FMLLP

KUALA LUMPUR: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada Khamis menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan disiplin terhadap pasukan yang menurunkan pemain sepatutnya menjalani hukuman penggantungan perlawanan dalam Liga Malaysia.

Jurucakap FMLLP yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Bernama, sebaliknya berkata hanya Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai kuasa berbuat demikian terhadap pasukan yang melanggar peraturan tersebut.

“Tugas FMLLP hanya menguruskan bahagian media, komunikasi dan pemasaran Liga Malaysia, manakala FAM masih bertanggungjawab dalam hal tatatertib, pengadilan, undang-undang, perubatan, keselamatan dan integriti.

“Jika ada sebarang bantahan ingin dikemukakan sesebuah pasukan terhadap pasukan lain seperti penggantungan pemain yang masih diturunkan dalam sesuatu perlawanan, mereka sepatutnya menyalurkan bantahan mereka kepada FAM kerana kami tiada kuasa mengambil tindakan disiplin ke atas pasukan terlibat,” katanya.

Pada Rabu, Bernama melaporkan Pulau Pinang akan tersingkir ke saingan Liga Perdana 2017 sekiranya FMLLP meluluskan bantahan yang dikemukakan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Laporan itu menyatakan PDRM menghantar surat bantahan kepada FMLLP selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim menurunkan Juan Martin Lucero yang sepatutnya digantung perlawanan pada aksi ke-18 Liga Super antara kedua-dua pasukan, 16 Ogos lepas.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, JDT mencatat kemenangan 4-0.

Sebelum pertemuan antara JDT dan PDRM, Lucero sudah mengutip tiga kad kuning iaitu semasa aksi Liga Super menentang Kelantan pada 8 April dan 26 Julai, serta pertemuan dengan Perak pada 6 Ogos lepas.

Berdasarkan carta kedudukan muktamad Liga Super 2016, Pulau Pinang menduduki tangga ke-10 dengan kutipan 22 mata selepas beraksi dalam 22 perlawanan, manakala PDRM di tangga ke-11 dengan 21 mata.

Sekiranya bantahan PDRM itu diterima, mereka bakal meraih tiga mata.

Mengikut format Liga Malaysia, dua pasukan terbawah Liga Super akan diturunkan beraksi di Liga Perdana musim depan.

Selain PDRM, Terengganu juga tersingkir ke saingan Liga Perdana 2017 selepas menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 19 mata. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");